SEGAMAT: Mangsa banjir di Johor terus melonjak kepada 1,827 mangsa membabitkan 466 keluarga, yang ditempatkan di 31 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 12 tengah hari tadi.
Ia berbanding 1,646 mangsa daripada 425 keluarga, yang ditempatkan di 28 PPS, setakat jam 8 pagi tadi.
Segamat menjadi daerah paling terjejas banjir di negeri itu, dengan mangsa banjir melonjak kepada 1,771 orang daripada 452 keluarga, yang ditempatkan di 30 PPS, berbanding 1,615 mangsa daripada 418 keluarga yang ditempatkan di 27 PPS, pada waktu pagi.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata sebanyak 30 PPS dibuka di Segamat berikutan trend air banjir yang mula menaik dan cuaca dijangka hujan berterusan.
"Antara kawasan terjejas banjir di Segamat adalah Kampung Sermin, Kampung Lembah Bakti, Pekan Air Panas, Paya Lenga, Paya Lebar, Gelang Chinchin, Tenang dan Sedeng.
"Paya Lang, Kampung Baru Gemas Bahru, Taman Gembira, Taman Wira, Taman Bintang, Kampung Awat, Kampung Jabi, Kampung Tengah, Tungku Tiga, Sekijang, Seberang Batu Badak, Kampung Jawa/Logah dan Kampung Sri Makmir," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, jumlah mangsa di Tangkak juga naik kepada 40 mangsa daripada 10 keluarga, berbanding 31 mangsa daripada tujuh keluarga, yang ditempatkan di PPS Sekolah Agama Bandar Tangkak.
Vidyananthan berkata, hujan dan fenomena air pasang besar juga dijangka berlaku di beberapa daerah di negeri itu.
Justeru, beliau mengingatkan penduduk khususnya di kawasan rendah dan berisiko banjir supaya sentiasa berwaspada dan peka terhadap perubahan cuaca di kawasan masing-masing.