Ahad, 2 Januari 2022 | 1:21pm
Antara mangsa yang terkandas di Rumah berhala Fook Poon Thong berhampiran Sungai Segamat, Johor. Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Antara mangsa yang terkandas di Rumah berhala Fook Poon Thong berhampiran Sungai Segamat, Johor. Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan

JPS laksana tindakan fenomena air pasang, banjir di Batu Pahat

PUTRAJAYA: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah melaksanakan beberapa langkah persediaan bagi menghadapi fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku di sekitar Batu Pahat, Johor bermula hari ini hingga Rabu.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Dr Zaini Ujang, berkata bagi tindakan jangka pendek, ia membabitkan persediaan bagi menghadapi bencana banjir terutama di kawasan rendah di Batu Pahat seperti di Parit Johar dan Jalan Sultanah.

Katanya, ia termasuk memastikan semua enam Pintu Air kawasan itu berfungsi dengan baik, selain memastikan tiada mendapan dan halangan oleh sampah sarap pada sistem saliran.

"Pihak JPS juga membina halangan menggunakan beg pasir dan melaksanakan penyedutan mendapan di longkang bawah tanah sekitar Jalan Sultanah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Fenomena air pasang besar dijangka berlaku di sekitar Batu Pahat bermula hari ini hingga 5 Januari dan bencana banjir boleh terjadi sekiranya berlaku pertembungan antara air pasang besar dengan hujan lebat secara serentak serta boleh mengakibatkan longkang saliran bandar penuh.

Zaini berkata, JPS turut mengambil langkah awal dengan membina benteng tanah sepanjang 200 meter dari Parit Lapis hingga ke Taman Nira pada tahun lalu bagi mengelak limpahan air Sungai Batu Pahat ke kawasan sekitar Taman Nira, Batu Pahat.

"Penduduk yang tinggal berdekatan dengan kawasan pesisir pantai dan sungai-sungai utama dinasihatkan supaya sentiasa peka dan mengikuti perkembangan terkini, termasuk amaran yang dikeluarkan pihak berkuasa serta memastikan sistem saliran air berhampiran dengan kediaman sentiasa diselenggara bagi melancarkan pengaliran air," katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai status aras air semasa sungai-sungai di seluruh negara, orang ramai boleh melayari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my atau menerusi aplikasi MyPublicInfoBanjir. - BERNAMA

Berita Harian X