Ahad, 2 Januari 2022 | 1:10pm
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin. - Foto BERNAMA
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin. - Foto BERNAMA

Perlahankan Omicron, elak sistem kesihatan lumpuh - Khairy

KUALA LUMPUR: Kerajaan bertungkus-lumus memperlahankan penularan gelombang Omicron bagi menangani risiko sistem kesihatan awam menjadi lumpuh.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, ketika menegaskan perkara itu berkata gelombang varian membimbangkan (VOC) seperti diisytiharkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu berkemungkinan besar akan mula di Malaysia.

Sehubungan itu, katanya, Malaysia meletakkan sandaran kepada beberapa 'perisai' ampuh seperti memperluaskan liputan dos penggalak, pemakaian pelitup muka dan sistem pengudaraan yang baik sebagai antara langkah memperlahankan penularan Omicron.

"TRIIS (uji, lapor, pengasingan, maklumkan, dapatkan), MySJ Trace dan kawalan pintu masuk antarabangsa juga antara langkah yang diambil kerajaan.

"Ada yang rujuk data kesan Omicron tidak seteruk Delta. Nampak begitu. Tetapi kebolehjangkitan Omicron melebihi Delta.

"Jika denominator (penyebut angka) kes lebih besar, sudah pasti kemasukan hospital dan unit rawatan rapi (ICU) meningkat.

"Kementerian Kesihatan mahu elak sistem kesihatan awam lumpuh menerusi strategi memperlahankan (gelombang) Omicron," katanya menerusi kenyataan di Twitter, hari ini.

Omicron yang berasal dari Afrika Selatan dan dilaporkan kepada WHO pada 24 November tahun lalu kini dikesan di sekurang-kurangnya tujuh negeri di Malaysia, iaitu Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Johor, Pahang, Sarawak dan Sabah.

Hasil saringan dan pengesahan lanjut menerusi ujian jujukan penuh (WGS), Malaysia setakat semalam merekodkan 64 kes Omicron serta lima kluster membabitkan varian berkenaan, selain 35 kontak rapat di 12 daerah.

Mengulas pertikaian orang ramai mengenai kajian keperluan dos keempat, Khairy berkata vaksin COVID-19 dibangunkan ketika tiada varian Delta atau Omicron.

"SARS-CoV2 adalah 'novel' coronavirus, yakni virus baharu yang pasti akan melalui mutasi.

"Apabila kita lebih tahu kesan mutasi, tindak balas kita perlu juga berubah. Di sesetengah negara, flu jab (suntikan vaksin selesema) diambil setiap tahun.

"Buat masa ini, kita tahu satu dos penggalak diperlukan. Lebih daripada itu, kita kaji dari semasa ke semasa bila data saintifik baharu muncul.

"Yang penting tindak balas kita ikut data yang baharu. Ini yang dimaksudkan tindak balas berteraskan bukti sahih," katanya.

Berita Harian X