Ahad, 2 Januari 2022 | 12:35pm
Kira-kira 10,000 jemaah dijangka terkesan susulan keputusan kerajaan menangguhkan ibadah umrah buat sementara waktu berkuatkuasa 8 Januari ini berikutan penularan jangkitan Omicron. - Foto NSTP
Kira-kira 10,000 jemaah dijangka terkesan susulan keputusan kerajaan menangguhkan ibadah umrah buat sementara waktu berkuatkuasa 8 Januari ini berikutan penularan jangkitan Omicron. - Foto NSTP

10,000 jemaah terkesan penangguhan sementara umrah

KUALA LUMPUR: Kira-kira 10,000 jemaah dijangka terkesan susulan keputusan kerajaan menangguhkan ibadah umrah buat sementara waktu berkuatkuasa 8 Januari ini berikutan penularan jangkitan Omicron.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata daripada jumlah itu kira-kira 5,000 membabitkan jemaah yang dijadualkan bertolak ke Arab Saudi pada bulan ini, manakala selebihnya pada Februari dan Mac.

Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai kepentingan mengawal jangkitan COVID-19, namun nasib agensi yang mengendalikan umrah juga perlu diambil kira, begitu juga dengan bakal jemaah.

"Justeru, PAPUH dan agensi pelancongan yang mengendalikan umrah meminta kerajaan untuk menarik semula penangguhan perjalanan umrah yang diumumkan semalam," katanya.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, ketika mengumumkan keputusan itu berkata larangan berkenaan akan kekal berkuat kuasa sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

"Tempahan tiket penerbangan perjalanan umrah yang baharu ditangguhkan berkuat kuasa, hari ini (semalam)," katanya.

Berikutan pengumuman itu, PAPUH, Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) dan Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) memohon penangguhan berkenaan ditarik balik.

Ketiga-tiga persatuan terbabit mendakwa, tindakan kerajaan dilihat terlalu tergesa-gesa dan memberi kesan besar kepada jemaah umrah serta sektor pelancong yang terbabit.

Penangguhan turut menyebabkan kerugian wang yang besar dan kos pembatalan yang tinggi kepada jemaah rakyat negara ini.

Razali berkata, kerajaan diminta melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dengan menetapkan syarat kuarantin di stesen kuarantin atau hotel terpilih.

"Kos untuk kuarantin boleh dikenakan kepada jemaah.

"Langkah itu lebih praktikal berbanding penangguhan sementara mengerjakan umrah. Jemaah dapat mengerjakan umrah, agensi pelancongan tidak menanggung kerugian besar dan penularan wabak dapat dibendung," katanya.

Berita Harian X