Ahad, 2 Januari 2022 | 8:30am
 Segamat menjadi daerah paling terjejas banjir di Johor dengan mangsa banjir melonjak kepada 1,615 orang. - Foto NSTP
Segamat menjadi daerah paling terjejas banjir di Johor dengan mangsa banjir melonjak kepada 1,615 orang. - Foto NSTP

Jumlah mangsa banjir Johor meningkat 1,646

SEGAMAT: Mangsa banjir di Johor terus melonjak kepada 1,646 mangsa daripada 425 keluarga yang ditempatkan di 28 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 8 pagi tadi.

Ia berbanding hanya 1,167 mangsa daripada 310 keluarga yang ditempatkan di 20 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 4 pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata Segamat menjadi daerah paling terjejas banjir di negeri ini dengan mangsa banjir melonjak kepada 1,615 daripada 418 keluarga yang ditempatkan di 27 PPS, setakat jam 8 pagi tadi

Berbanding hanya 1,136 orang mangsa daripada 290 keluarga yang ditempatkan di 19 PPS di daerah berkenaan, jam 4 pagi tadi.

Vidyananthan berkata, bagaimanapun Tangkak menjadi daerah kedua terjejas banjir di Johor kekal dengan 31 mangsa daripada tujuh keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Agama Bandar Tangkak, setakat jam 8 pagi tadi.

"Sebanyak 27 PPS dibuka di Segamat berikutan trend air banjir yang mula menaik dan cuaca dijangka hujan berterusan.

Keadaan terkini Sungai Segamat, Johor. - Foto NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Keadaan terkini Sungai Segamat, Johor. - Foto NSTP/NUR AISYAH MAZALAN

"Antara kawasan yang terjejas banjir di Segamat termasuklah Kampung Sermin, Kampung Lembah Bakti, Pekan Air Panas, Paya Lenga, Paya Lebar, Gelang Chinchin, Tenang dan Sedeng.

"Turut terjejas banjir adalah kawasan Paya Lang, Kampung Baru Gemas Bahru, Taman Gembira, Taman Wira serta Taman Bintang selain Kampung Awat.

"Kawasan Kampung Jabi, Kampung Tengah,Tungku Tiga, Sekijang, Seberang Batu Badak, Kampung Jawa/Logah dan Kampung Sri Makmir tirut terjejas banjir di Segamat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Vidyananthan berkata, hampir semua daerah di Johor diramalkan akan hujan pagi ini.

"Antara kawasan yang diramal hujan oleh Met Malaysia adalah Segamat, Muar, Johor Bahru, Batu Pahat, Kluang, Kota Tinggi, Mersing dan Kulai manakala cuaca mendung di Tangkak dan Pontian.

"Penduduk di kawasan rendah dan berisiko banjir dinasihatkan sentiasa berwaspada dan peka terhadap perubahan cuaca di kawasan masing-masing selain mematuhi arahan pihak berkuasa jika pemindahan perlu dilakukan ke kawasan lebih selamat," katanya.

Berita Harian X