Sabtu, 1 Januari 2022 | 9:59pm
Orang ramai yang terkesan banjir diminta mengurus dan membuang sampah domestik masing-masing dengan sempurna bagi mengelakkan penyakit. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Orang ramai yang terkesan banjir diminta mengurus dan membuang sampah domestik masing-masing dengan sempurna bagi mengelakkan penyakit. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Buang sampah domestik elak penyakit kencing tikus

PUTRAJAYA: Orang ramai yang terkesan banjir diminta mengurus dan membuang sampah domestik masing-masing dengan sempurna bagi mengelakkan penyakit yang berpunca daripada kencing tikus.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, berkata orang ramai juga perlu membuang sampah dengan lebih kerap supaya ia tidak hanyut dibawa arus apabila banjir berulang.

"Orang ramai perlu bersiap siaga menghadapi gelombang banjir seterusnya. Apabila bencana itu berlaku, ia akan menjejaskan sampah yang ada di dalam rumah serta muncul penyakit lain berkaitan banjir," katanya kepada Bernama.

Selain itu, Mohammad Hamdan juga menasihati orang ramai supaya menyediakan keperluan penting sebelum berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

"Jika terpaksa berpindah ke PPS, orang ramai diminta segera mengambil peralatan serta dokumen penting seperti barang kemas, sijil nikah dan sebagainya, atau mewujudkan satu pusat penyimpanan dokumen supaya senang untuk mengambilnya dan meninggalkan rumah dalam keadaan selamat serta dikunci.

"Jika enggan berpindah, mereka diminta menyediakan peralatan asas dan bekalan makanan yang mencukupi," katanya dengan menambah orang ramai dinasihatkan segera ke tempat selamat jika paras air semakin meningkat.

Beliau berkata, orang ramai juga boleh menghubungi talian MERS 999, balai polis atau balai bomba berhampiran untuk melaporkan situasi banjir yang berlaku di sekeliling mereka. – BERNAMA

Timbunan sampah pelbagai barangan yang dibuang akibat banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam. - Foto fail NSTP
Timbunan sampah pelbagai barangan yang dibuang akibat banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam. - Foto fail NSTP

Berita Harian X