Sabtu, 1 Januari 2022 | 9:01pm
Pemandangan udara menunjukkan kawasan perumahan di Taman Pinggiran Sungai Kelamah ditenggelami banjir. - Foto BERNAMA
Pemandangan udara menunjukkan kawasan perumahan di Taman Pinggiran Sungai Kelamah ditenggelami banjir. - Foto BERNAMA

Banjir: Maut serangan jantung ketika mahu selamatkan ternakan

TAMPIN: Seorang warga emas meninggal dunia akibat serangan jantung, ketika cuba menyelamatkan haiwan ternakannya dengan meredah banjir di Taman Pinggiran Felda, Gemas, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab, berkata dalam insiden jam 8 pagi, lelaki berusia 66 tahun itu dikatakan pergi ke kandang ternakan lembu berhampiran rumahnya ketika paras air naik di kawasan terbabit.

"Mangsa dikatakan jatuh tergelincir ketika meredah air ke kandang ternakannya. Isteri mangsa yang melihat kejadian itu sempat menarik lelaki berkenaan ke kawasan lebih selamat," katanya kepada Bernama.

Namun, beliau berkata, doktor kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung, dan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut (SDR).

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Pinggiran Felda dan FELDA Sungai Kelamah, Rosiyah Ab Rahman, 56, berkata kira-kira 200 rumah di kawasan berhampiran terkesan banjir akibat limpahan air Sungai Kelamah susulan hujan berterusan sejak petang semalam.

Dua orang penduduk Taman Pinggiran Sungai Kelamah dilihat mengharungi banjir bagi menyelamatkan diri akibat kawasan berkenaan dilanda banjir ekoran hujan lebat sejak pukul 5 pagi tadi hari ini. - Foto BERNAMA
Dua orang penduduk Taman Pinggiran Sungai Kelamah dilihat mengharungi banjir bagi menyelamatkan diri akibat kawasan berkenaan dilanda banjir ekoran hujan lebat sejak pukul 5 pagi tadi hari ini. - Foto BERNAMA

"Air mula naik hingga paras dada sejak awal pagi tadi dan penduduk kampung sudah diarahkan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sungai Kelamah, kerana banjir dikhuatiri semakin buruk," katanya.

Ketua Kampung FELDA Jelai 4, Jumasri Rahim, 53, pula berkata 20 keluarga terjejas banjir akibat limpahan air Sungai Pador di kampung itu, telah dipindahkan ke PPS Sekolah Agama Rakyat FELDA Jelai 4.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap memaklumkan setakat tengah hari tadi, air mulai surut di kebanyakan kawasan yang dilanda banjir di daerah berkenaan.

Katanya, Jalan Kuala Pilah-Tampin mula dibuka kepada semua kenderaan selepas banjir surut, namun laluan ke Kampung Air Taling, Johol, masih ditutup kerana belum dapat dilalui berikutan air masih bertakung.

Beliau berkata, pelbagai agensi keselamatan masih memantau keadaan dan pihaknya telah membuka bilik gerakan di Pejabat Daerah Kuala Pilah sebagai persediaan memberi bantuan sekiranya berlaku hujan lebat berterusan di daerah itu. – BERNAMA

Berita Harian X