TUMPAT: Penduduk di sepanjang pinggir Sungai Kelantan di daerah ini dinasihat berwaspada kerana dibimbangi menerima limpahan air dari hulu.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd Azmir Damiri, berkata walaupun paras sungai masih di tahap waspada mengikut bacaan di Tambatan Diraja, Kota Bharu, penduduk sekitar dinasihatkan bertindak awal jika limpahan memasuki penempatan.
"Tumpat mempunyai dua sungai yang menyumbang kepada situasi banjir iaitu Sungai Golok yang boleh menjejaskan lebih 10 kampung di Pengkalan Kubor dan Sungai Kelantan membabitkan sekitar Pasir Pekan serta beberapa kampung di gugusan pulau dalam mukim Kelaboran.
"Ketika gelombang pertama sebelum ini, kenaikan paras air di sekitar Pasir Pekan dan jeti Kok Majid di Kampung Laut hanya sedikit tetapi Pengkalan Kubor mengalami limpahan fenomena air pasang beberapa kali.
"Setakat ini, situasi di Tumpat masih terkawal dan tiada mangsa terjejas.
"Bagaimanapun, kita mengingatkan penduduk di kawasan yang berisiko supaya tetap berwaspada," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mohd Azmir turut memberi peringatan kepada orang ramai supaya tidak menjadikan bencana banjir sebagai pesta walaupun mereka sudah biasa dengan situasi itu.
Tinjauan bersama Ketua Polis Balai Wakaf Bharu, Sarjan Mejar Abd Halim Shafai, di sekitar Kampung Pasir Pekan di sini mendapati limpahan seperti biasa berlaku di terowong yang menjadi laluan alternatif penduduk.
Seorang penduduk, Syukri Mamat, 52, berkata limpahan berlaku sejak pagi semalam dan meningkat mencecah 0.2 meter mulai malam tadi.
"Situasi ini berlaku setiap tahun dan paras air mungkin meningkat jika hujan lebat berterusan," katanya.
Limpahan air Kelantan di terowong mencecah 0.2 meter yang menjadi laluan alternatif penduduk setempat di Kampung Pasir Pekan. - Video NSTP/Nik Abdullah Nik Omar pic.twitter.com/im3obWUchy
— Berita Harian (@bharianmy) January 1, 2022