Sabtu, 1 Januari 2022 | 1:24pm

MOTAC beri 40 peratus diskaun bayar kompaun hingga Jun

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memberikan diskaun pembayaran kompaun sebanyak 40 peratus kepada semua pengusaha pelancongan berlesen dan pemandu pelancong berlesen yang dikenakan kompaun, hingga 30 Jun ini.

Kementerian itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan selain itu, tempoh pembayaran bagi semua kompaun dikeluarkan MOTAC kepada pengusaha pelancongan berlesen atau pemandu pelancong berlesen dilanjutkan hingga 30 Jun.

"Kementerian berharap inisiatif ini dapat membantu meringankan beban penggiat industri yang terkesan dengan penularan wabak COVID-19.

"Namun demikian, pihak kementerian menegaskan bahawa kegagalan untuk menjelaskan kompaun yang dikeluarkan boleh menyebabkan tindakan pendakwaan diambil kepada syarikat atau pemandu pelancong yang berkaitan," menurut kenyataan itu.

MOTAC juga memberi pengecualian kompaun kepada pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang gagal memperbaharui lesen dalam tempoh ditetapkan bagi lesen berakhir pada 1 Januari hingga 30 Jun disebabkan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Kementerian itu memaklumkan pengecualian ini diberikan dengan syarat permohonan lengkap perlu dikemukakan dalam tempoh 30 hari selepas tamat tempoh lesen.

Selain itu, kementerian turut melaksanakan pengeluaran lesen syarikat pengendali pelancongan tanpa pemeriksaan premis dalam tempoh PPN namun pemeriksaan premis akan dilaksanakan dalam tempoh 90 hari setelah lesen syarikat dicetak dan dikeluarkan MOTAC Negeri. – BERNAMA

Berita Harian X