Sabtu, 1 Januari 2022 | 1:09pm

Penduduk FELDA Palong Timur terperangkap, penempatan jadi pulau

SEGAMAT: Kira-kira 1,000 penduduk FELDA Palong Timur, di sini, terputus hubungan apabila dua jalan keluar masuk ke FELDA berkenaan ditenggelami air sedalam lebih tiga meter, sejak awal pagi tadi.

Keadaan itu menyebabkan penduduk terperangkap kerana air naik di sekeliling kawasan FELDA Palong Timur, sekali gus menjadikannya seperti pulau.

Penduduk FELDA berkenaan, Mohd Amir Mohd Safie, 25, berkata dua jalan keluar masuk ke FELDA itu iaitu Jalan Putting dan Jalan Pudu ditenggelami air bah sejak jam 3 pagi tadi.

"Hujan lebat sejak tengah malam tadi dan penduduk menyedari dua jalan keluar masuk di FELDA Palong Timur dinaiki air sedalam tiga meter.

"Memang hanya ada dua jalan penghubung untuk penduduk keluar masuk ke FELDA ini dan apabila air banjir semakin tinggi, kami terperangkap kerana air naik di sekeliling kawasan menyebabkan penempatan menjadi seperti pulau.

"Hujan berhenti jam 8 pagi tadi, namun mula lebat semula sejak jam 10 pagi hingga sekarang," katanya kepada BH, hari ini.

Mangsa banjir di Segamat terus meningkat kepada 658 orang daripada 192 keluarga yang ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 12 tengah hari tadi.

Ia berbanding hanya 456 mangsa daripada 133 keluarga dipindahkan ke lapan PPS, jam 8 pagi tadi.

Anggota bomba dan penyelamat menggunakan bot bagi menyelamatkan mangsa di Felda Palong Satu. - Foto ihsan bomba
Anggota bomba dan penyelamat menggunakan bot bagi menyelamatkan mangsa di Felda Palong Satu. - Foto ihsan bomba

 Keadaan banjir di sekitar FELDA Palong Timur yang menyebabkan penduduk terperangkap dan kawasan itu seperti pulau selepas dinaiki air sedalam tiga meter. - Foto ihsan pembaca
Keadaan banjir di sekitar FELDA Palong Timur yang menyebabkan penduduk terperangkap dan kawasan itu seperti pulau selepas dinaiki air sedalam tiga meter. - Foto ihsan pembaca
Berita Harian X