Sabtu, 1 Januari 2022 | 9:28am

Dua lagi kes Omicron direkod di Malaysia

KUALA LUMPUR: Dua lagi kes COVID-19 disahkan Omicron, menjadikan jumlah keseluruhan varian itu di Malaysia sebanyak 64 kes setakat semalam.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, ketika mendedahkan perkembangan itu berkata 63 daripadanya membabitkan pengembara dan satu kes disyaki jangkitan tempatan.

Katanya, sebanyak 32 kes atau 50 peratus daripada keseluruhan jangkitan Omicron yang dikesan di negara ini berlaku dalam kalangan jemaah umrah.

"Kementerian Kesihatan (KKM) ingin memaklumkan bahawa Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) menjalankan ujian PCR Genotyping Assay terhadap 1,077 sampel kes positif COVID-19 dalam kalangan pengembara dari 21 sehingga 29 Disember, tahun lalu.

"Sebanyak 966 daripadanya menunjukkan berkemungkinan varian Omicron dan kini menunggu keputusan ujian jujukan penuh (WGS).

"Daripada 966 sampel itu, 750 atau 77.6 peratus membabitkan sampel pengembara yang tiba dari Arab Saudi.

"Sehingga 30 Disember, tahun lalu, KKM merekodkan sembilan kluster yang membabitkan jemaah umrah, iaitu lima kluster merangkumi kes indeks varian Omicron, satu kluster kes indeks berkemungkinan keputusan WGS dan tiga kluster kes indeks positif COVID-19 bukan varian Omicron," katanya pada sidang media di Parlimen, di sini, hari ini.

Bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Disember tahun lalu, Khairy berkata 2,763 kes positif COVID-19 dikesan dalam kalangan pengembara yang tiba di pintu masuk antarabangsa (PMA) dan 1,446 kes daripadanya adalah pengembara dari Arab Saudi, diikuti Singapura (322 kes), Indonesia (264 kes), dan United Kingdom (217 kes).

Sebagai perbandingan dalam tempoh 14 hari lalu atau minggu epidemiologi ke-51 dan 52, katanya, kes positif COVID-19 dalam kalangan pengembara yang tiba dari Arab Saudi mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 1,161 kes berbanding Singapura (13 kes), Indonesia (lapan kes) dan United Kingdom (49 kes).

"Untuk makluman, bermula pada 13 Oktober 2021, kumpulan pertama jemaah dari Malaysia berlepas ke tanah suci untuk mengerjakan umrah dan prosedur operasi standard (SOP) khas bagi tujuan berkenaan dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 18 Oktober 2021.

"Sehingga 30 Disember 2021, seramai 11,108 jemaah umrah tiba di Malaysia dan 1,306 daripadanya atau 11.76 peratus dikesan positif COVID-19.

"Daripada jumlah itu, 592 dikesan positif pada ujian pertama ketika hari ketibaan di Malaysia dan 714 kes dikesan positif COVID-19 pada ujian kedua yang dijalankan pada hari kelima kuarantin.

"Perhimpunan berskala besar membabitkan jemaah dari pelbagai negara ketika di Arab Saudi mendedahkan rakyat Malaysia kepada risiko tinggi mendapat jangkitan COVID-19 termasuk varian Omicron," katanya.

Sehubungan itu, katanya, jemaah sukar untuk mematuhi SOP umrah yang ditetapkan Kerajaan Malaysia, selain berkemungkinan dijangkiti ketika berada di Arab Saudi tetapi masih dalam tempoh inkubasi jangkitan menyebabkan ujian saringan adalah negatif sebelum bertolak balik ke Malaysia.

"Satu perkara nak tegaskan bahawa mengikut SOP Arab Saudi, mereka yang dikesan positif ketika ujian prapelepasan tidak dibenarkan menaiki penerbangan, tetapi kontak rapat masih boleh meneruskan perjalanan pulang ke negara masing-masing.

"Bilangan ketibaan jemaah umrah Malaysia yang ramai iaitu kira-kira 800 ke 1,000 sehari, menggunakan empat penerbangan khas, meningkatkan lagi risiko pengimportan kes COVID-19 dan varian Omicron ke dalam negara.

"Kebanyakan jemaah yang pulang dari mengerjakan umrah memohon menjalani kuarantin di rumah atau tempat kediaman sepanjang tempoh tujuh hari, namun apabila berlaku tidak kepatuhan SOP, kes-kes positif COVID-19 dalam kalangan jemaah umrah menyebabkan berlakunya penularan jangkitan kepada ahli keluarga.

"Justeru, saya kena laksanakan tugas bersandarkan statistik dan data semasa, malah tiada menteri Muslim, beragama Islam yang ingin tangguhkan ibadat umrah, cuma ia terpaksa dilakukan," katanya.

Berita Harian X