Jumaat, 31 Disember 2021 | 10:53pm
Sekitar program solat hajat sempena sambutan ambang tahun baru 2022 ketika tinjauan di Masjid Tepian Putra, Kuantan. NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG
Sekitar program solat hajat sempena sambutan ambang tahun baru 2022 ketika tinjauan di Masjid Tepian Putra, Kuantan. NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG

Masyarakat berbilang agama sambut 2022 doakan kesejahteraan negara

KUALA LUMPUR: Masyarakat Malaysia berbilang agama malam ini menyambut tahun baharu 2022 dengan mendoakan kesejahteraan negara serta menghormati mangsa bencana banjir yang melanda beberapa negeri, baru-baru ini.

Rata-rata masyarakat akur dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam agar sambutan tahun baharu kali ini dibatalkan, sebaliknya diganti dengan solat hajat dan doa selamat sebagai menghormati, bersimpati dengan mangsa banjir.

Masyarakat Islam melakukan solat hajat selepas solat Maghrib di masjid terpilih di seluruh negara sementara masyarakat bukan Islam turut melakukan upacara berdoa di rumah ibadat masing-masing.

Di Putrajaya, Perdana Menteri menyertai lebih 500 jemaah di Masjid Putra untuk bersolat hajat dan berzikir bagi mendoakan kesejahteraan negara sempena tahun baharu 2022.

Beliau tiba di Masjid Putra kira-kira 7.15 malam diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad untuk menunaikan solat Maghrib diimamkan oleh Imam Besar Masjid Putra, Salahuddin Ghozali, diikuti solat hajat.

Ia disusuli bacaan zikir istighasah (memohon pertolongan) dan zikir munajat yang dipimpin selebriti Munif Ahmad dan bacaan doa Buatmu Malaysia oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh.

Turut serta ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Gereja St Mary's Cathedral di ibu negara melakukan upacara sembahyang tahun baharu kali ini secara dalam talian mengambil kira penularan COVID-19 selain memudahkan penyertaan penganut agama Kristian seluruh negara.

Pegawai Tadbir gereja, Wong Yoke Ling berkata upacara itu akan dibuat dibuat di platform Zoom, malam ini bermula 11.30 malam.

Gurdwara Sahib di ibu negara turut mengadakan upacara sembahyang menyambut tahun baharu bermula jam 6 petang hingga 12 malam ini dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 dan dipantau Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Setiausahanya, Harpal Singh berkata pihaknya tidak dapat menjalankan upacara tersebut secara dalam talian berikutan kekangan tertentu di pusat ibadah itu.

"Upacara sembahyang ini adalah doa kesyukuran berakhirnya 2021 dan menyambut tahun baharu esok sekali gus mendoakan kesejahteraan semua rakyat negara diberi kesihatan yang baik. Doa ini untuk semua tanpa mengira agama penduduk Malaysia," katanya ketika dihubungi BERNAMA.

Di Selangor, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menghadiri Program Selangor Memohon Kesejahteraan dan Keberkatan Allah Menjelang 2022 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, malam ini.

Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, solat sunat Ba'diah dan solat Taubah secara sendiri dan disusuli dengan solat Sunat Awabin Maal Hifz Man serta solat hajat secara berjemaah.

Majlis diteruskan dengan bacaan surah Yasin, tahlil dan zikir munajat dan bacaan doa khas oleh Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Ophir dan solat isyak berjemaah.

Di Pahang, pengisian malam tahun baharu diadakan dengan program kerohanian anjuran Masjid Tepian Putra, Kuantan dengan kehadiran lebih 100 warga setempat.

Majlis bermula dengan solat Maghrib diikuti solat sunat hajat sebelum diteruskan dengan bacaan Yasin serta doa selamat untuk menghindari bencana yang dipimpin imam masjid berkenaan, Ustaz Mohd Zulkarnai Shamsudin sebelum diakhiri bacaan surah Al-Mulk selepas solat Isyak

Sementara itu di Pulau Pinang, solat hajat dan zikir munajat diadakan di semua masjid serta surau di negeri itu malam ini sempena menyambut tahun baharu 2022, selaras dengan saranan Perdana Menteri.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Datuk Mohd Zakuan Zakaria, berkata majlis itu dijalankan serentak di 214 masjid dan 497 surau di seluruh negeri selepas solat Maghrib malam ini.

"Semoga majlis akan membuka lembaran baharu tahun 2022 dengan penuh keinsafan dan keberkatan Allah. Semoga Allah melindungi Malaysia dari wabak penyakit, bencana alam dan pulihkan ekonomi negara," katanya.

Selain itu, Bishop Gereja St George's Anglican Stephen Soe berkata gereja itu telah mengadakan upacara keagamaan di ambang tahun baharu 2022.

"Pihak gereja sangat bersyukur kerana dapat mengadakan upacara yang dihadiri 120 ahli gereja tahun ini kerana tahun lepas, kita tidak mengadakan sambutan secara fizikal. Sebelum pandemik, sambutan kebiasaannya diadakan sehingga tengah malam namun pada hari ini kita memperuntukkan masa selama satu jam 30 minit sahaja," katanya.-- BERNAMA

Berita Harian X