Jumaat, 31 Disember 2021 | 10:28pm
Foto hiasan
Foto hiasan

BUMITRA syor SOP umrah diperketat

KUALA LUMPUR: Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) tidak bersetuju sekiranya ibadah umrah ditangguhkan serta-merta susulan penularan varian Omicron, sebaliknya memohon supaya prosedur operasi standard (SOP) diperketatkan.

Naib Presiden Haji dan Umrahnya, Shamsulnidza Mudari, berkata jika ibadah itu ditangguhkan, langkah itu jelas akan mengundang pelbagai implikasi buruk terhadap rantaian penggiat industri pelancongan.

Justeru, beliau berkata, pihaknya terbuka untuk berbincang dengan kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai SOP yang boleh diguna pakai bukan sahaja membabitkan jemaah umrah, malah pengembara.

"BUMITRA meminta KKM tidak membuat keputusan penangguhan ibadah umrah secara serta-merta tanpa merujuk kepada BUMITRA sebagai wakil industri pengendali pelancongan dan umrah yang diiktiraf Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

"Mewakili 579 agesi pelancongan Bumiputera yang berdaftar dengan BUMITRA memberitahu tindakan yang perlu bagi membendung penularan COVID-19 terutama varian Omicron yang sekarang dikatakan lebih menular dalam kalangan jemaah umrah adalah dengan memperketatkan SOP.

"Ia termasuk tidak membuat sebarang tindakan yang bakal merugikan penggiat industri pelancongan termasuk agensi pelancongan dan syarikat penerbangan malah kepada jemaah umrah sendiri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shamsulnidza berkata, sebelum ini juga pihaknya tiada masalah mematuhi SOP ditetapkan MOTAC dan KKM seperti melakukan ujian saringan COVID-19 72 jam sebelum berlepas dan 48 jam selepas pulang.

Selain itu, katanya jemaah yang positif di Makkah akan dikuarantin dan pelaksanaan ujian saringan COVID-19 sekali lagi sebaik tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau berkata, jemaah umrah diminta untuk melakukan pengasingan kendiri di rumah melalui aplikasi KKM, sekali gus menunjukkan semua langkah pencegahan yang ditetapkan, dipatuhi agensi pelancongan.

"Agensi pelancongan menyokong KKM jika terdapat keperluan untuk memberikan vaksin penggalak kepada jemaah umrah bagi melindungi diri dari dijangkiti.

"BUMITRA merayu kepada pihak berwajib agar menjalankan kajian lebih terperinci demi kepentingan rakyat bagi memacu ekonomi industri umrah supaya dapat membuat keputusan terbaik agar industri terus berkembang.

"Penangguhan ibadah umrah sebelum ini telahpun mengakibatkan banyak agensi pelancongan terpaksa gulung tikar. Pembukaan umrah yang dibenarkan pada Oktober membantu merancakkan semula ekonomi yang terkesan akibat penutupan sempadan," katanya.

Berita Harian X