Jumaat, 31 Disember 2021 | 10:07pm
Jemaah menunaikan solat sunat hajat sempena sambutan ambang Tahun Baharu 2022 yang diimamkan oleh Ketua Imam Masjid Tepian Putra Ustaz Mohd Zulkarnai Shamsudin, hari ini.- BERNAMA
Jemaah menunaikan solat sunat hajat sempena sambutan ambang Tahun Baharu 2022 yang diimamkan oleh Ketua Imam Masjid Tepian Putra Ustaz Mohd Zulkarnai Shamsudin, hari ini.- BERNAMA

Ismail Sabri sertai solat hajat, zikir

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menyertai lebih 500 jemaah di Masjid Putra di sini untuk bersolat hajat dan berzikir bagi mendoakan kesejahteraan negara sempena tahun baharu 2022.

Beliau tiba di Masjid Putra, kira-kira 7.15 malam, yang kemudian diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad sebelum menunaikan solat Maghrib.

Turut serta ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Ismail Sabri dalam catatan di Facebook miliknya semalam berkata beliau mengambil keputusan untuk membatalkan sambutan tahun baharu dan menggantikannya dengan solat hajat dan doa selamat sebagai tanda menghormati dan bersimpati dengan mangsa banjir di beberapa negeri.

Dalam catatan itu, katanya beliau telah meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) untuk menganjurkan Solat Hajat dan Malaysia Berzikir Ambang 2022 pada 31 Dis di Masjid Putra.

Dalam hantaran itu juga, Ismail Sabri mengajak Keluarga Malaysia untuk bersama-sama menunaikan solat Maghrib berjemaah, solat hajat dan doa selamat di Masjid Putra atau mengikuti siaran secara langsung program berkenaan di kaca televisyen, manakala bagi bukan beragama Islam pula disarankan melakukan sembahyang mengikut kepercayaan dan agama masing-masing.

Solat hajat selepas solat Maghrib diimamkan oleh Imam Besar Masjid Putra, Salahuddin Ghozali.

Ia disusuli bacaan zikir istighasah (memohon pertolongan) dan zikir munajat yang dipimpin selebriti Munif Ahmad dan bacaan doa Buatmu Malaysia oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yadim Tuan Kamarul Arief Tuan Soh.

Ismail Sabri meninggalkan Masjid Putra kira-kira 8.30 malam.

Turut diadakan di Masjid Putra adalah Forum Ehwal Islam bertajuk 'Azam 2022, Masjid di Hati' yang menampilkan dua panel iaitu bekas Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dan bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Ahmad Phesal Talib, serta dikendalikan oleh Ketua Penolong Pengarah Unit Komunikasi Korporat JAKIM, Zakaria Othman sebagai perantara.– BERNAMA

Berita Harian X