Jumaat, 31 Disember 2021 | 9:52pm
Istana Kehakiman. Foto fail NSTP
Istana Kehakiman. Foto fail NSTP

Kerajaan sedia laksana transformasi sistem kehakiman perkukuh demokrasi

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersedia melaksanakan transformasi dalam sistem kehakiman bagi memperkukuhkan demokrasi di negara ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, transformasi berkenaan seiring dengan Transformasi Parlimen yang sedang dilaksanakan kerajaan.

Ketika menyampaikan perutusan sempena Tahun Baharu 2022 yang disiarkan di stesen-stesen televisyen tempatan malam ini, Perdana Menteri turut menyentuh mengenai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai pada 13 September lalu.

Beliau berkata, MoU itu berjaya mengatasi cabaran ketidakstabilan politik negara yang berlaku tahun ini.

Cabaran berkenaan, katanya, yang mengancam agenda pemulihan dan perpaduan negara keseluruhannya, ditangani atas semangat Keluarga Malaysia dan merentasi perbezaan politik.

"Melalui kestabilan ini, Alhamdulillah, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) diluluskan tanpa sebarang pindaan pada 7 Oktober, begitu juga dengan Bajet 2022 turut lulus dengan sokongan majoriti pada 13 Disember lalu.

"Saya amat gembira dan terharu apabila Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diluluskan dengan sokongan kesemua Ahli Parlimen yang hadir seramai 200 orang," katanya.

Ismail Sabri berkata, perkara itu membuktikan semangat kesatuan yang dapat dicapai dalam perbezaan dan turut mengucapkan terima kasih kepada setiap Ahli Parlimen yang menyokong.

Selaras dengan nilai kebersamaan yang terangkum dalam konsep dan falsafah Keluarga Malaysia, beliau percaya Ahli-Ahli Parlimen akan turut menyokong beberapa Rang Undang-undang yang bakal dibentangkan.

"(Ia) Seperti Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti, Pindaan Perlembagaan serta lain-lain pindaan undang-undang dan Transformasi Parlimen. Semangat kebersamaan ini sudah pasti akan menambahkan lagi kestabilan politik di negara ini," katanya.

MoU itu dimeterai Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk satu kerjasama dwipartisan dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia.

MoU itu mempunyai enam agenda merangkumi pemerkasaan pelan COVID-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

Ia juga, antaranya menyatakan kerajaan bersetuju tidak akan mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum 31 Julai 2022 dan kerjasama itu adalah selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menasihatkan semua pihak supaya mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa-apa jua permasalahan.– BERNAMA

Berita Harian X