Jumaat, 31 Disember 2021 | 9:33pm
Sebahagian mangsa banjir yang mendaftar masuk ke pusat pemindahan sementara (PPS) menjalani ujian saringan COVID-19 yang dilakukan oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Tok Deh dekat Rantau Panjang. - Foto hiasan BERNAMA
Sebahagian mangsa banjir yang mendaftar masuk ke pusat pemindahan sementara (PPS) menjalani ujian saringan COVID-19 yang dilakukan oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Tok Deh dekat Rantau Panjang. - Foto hiasan BERNAMA

444 kes COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir

KUALA LUMPUR: Dua lagi kes COVID-19 dilaporkan dalam kalangan mangsa banjir setakat jam 3 petang tadi, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 444 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata mengikut rekod, jumlah keseluruhan mangsa terjejas banjir seramai 4,520 orang.

Jumlah keseluruhan kes positif di pusat pemindahan sementara (PPS) kekal 15 selepas tiada penambahan kes baharu hari ini.

Foto BERNAMA
Foto BERNAMA

"Sebanyak 57 PPS masih beroperasi iaitu 32 di Pahang, Kelantan (17), Selangor (empat), Terengganu (tiga), dan Negeri Sembilan (satu). Jumlah kluster COVID-19 di PPS kekal satu kerana tiada pertambahan kluster baharu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham, berkata 2021 adalah tahun penuh cabaran selepas negara diduga pandemik COVID-19 yang berpanjangan dan diburukkan lagi dengan bencana banjir.

Bagaimanapun, seluruh rakyat Malaysia menunjukkan semangat terpuji dan bersatu terutama pada saat yang amat memerlukan.

"Semoga ia menjadikan kita lebih kuat dan matang dalam menghadapi sebarang dugaan.

"Akhir kata, Kementerian Kesihatan (KKM) ingin mengucapkan selamat tahun baharu kepada semua rakyat Malaysia dan semoga 2022 dapat memberi sinar baharu kepada kesihatan serta kesejahteraan Keluarga Malaysia," katanya.

Berita Harian X