Jumaat, 31 Disember 2021 | 7:49pm
Paras air Sungai Kelantan di Tangga Krai. - Foto NSTP/Fathil Asri
Paras air Sungai Kelantan di Tangga Krai. - Foto NSTP/Fathil Asri

Sungai Kelantan lepasi paras bahaya

KUALA LUMPUR: Sungai Kelantan di Kuala Krai, Kelantan mencatat bacaan pada paras melebihi tahap bahaya 25 meter apabila bacaan jam 5.30 petang direkodkan pada 25.35 meter.

Public Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan 14 sungai di beberapa negeri menunjukkan tahap melebihi amaran dengan lapan menunjukkan pola menaik.

Keadaan Sungai Lebir di Kampung Manek Urai yang berada pada paras amaran setakat jam 5 petang. - Foto NSTP/Fathil Asri
Keadaan Sungai Lebir di Kampung Manek Urai yang berada pada paras amaran setakat jam 5 petang. - Foto NSTP/Fathil Asri

Ia dicatatkan di Kelantan iaitu Sungai Rantau Panjang, Pasir Mas; Sungai Golok, Rantau Panjang, Pasir Mas; Sungai Golok Kampung Jenob, Tanah Merah; Sungai Kelantan, Kusial, Tanah Merah; manakala di Pahang iaitu di Kuala Tahan, Jerantut; Sungai Tembeling, Kampung Merting, Jerantut; Jambatan Chegar Perah, Lipis; Sungai Dong, Kampung Peruas, Raub; Sungai Luit, Kampung Subuh, Maran dan Sungai Tembeling, Kuala Tahan Jerantut.

Di Sarawak, sungai yang mencatatkan paras melebihi amaran juga ialah di Long Teru, Miri, di Terengganu pula ialah di Sungai Besut, Jambatan Keruak, Besut dan Sungai Dungun, Kuala Jengai, Dungun.

Sementara itu, 16 sungai di Kelantan (tiga), Sarawak (dua), Pahang (tiga), Terengganu (tujuh) dan Johor (satu) diletakkan dibawah melebihi tahap berwaspada dengan tujuh daripadanya dalam pola menaik.

Setakat jam 5.50 petang ini, Selangor mencatatkan kategori hujan pada paras lebat (31-60mm), Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Kelantan, Terengganu, Putrajaya dan Kuala Lumpur mencatatkan hujan sederhana (11-30mm), manakala Pulau Pinang, Perak dan Melaka mencatatkan bacaan hujan renyai (1-10mm).

Berita Harian X