Jumaat, 31 Disember 2021 | 6:10pm
Razarudin mengadakan lawatan kerja dan diberi taklimat mengenai tugas pemulihan serta pembersihan pasca banjir oleh polis dan agensi berkaitan, di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Hulu Langat, semalam. - Foto PDRM
Razarudin mengadakan lawatan kerja dan diberi taklimat mengenai tugas pemulihan serta pembersihan pasca banjir oleh polis dan agensi berkaitan, di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Hulu Langat, semalam. - Foto PDRM

Mesyuarat selaras gerak kerja hadapi banjir

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur: Mesyuarat Jawatankuasa Tindak Balas Operasi Bencana semalam bertujuan menyelaras tugas dan gerak kerja semua agensi berkaitan dalam menghadapi bencana banjir.

Mesyuarat dipengerusikan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain di Bukit Aman itu disertai pelbagai agensi termasuk Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain. - Foto fail NSTP
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain. - Foto fail NSTP

Razarudin mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa TIndak Balas Operasi Bencana semalam. - Foto PDRM
Razarudin mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa TIndak Balas Operasi Bencana semalam. - Foto PDRM

Razarudin berkata, mesyuarat berkenaan turut menyentuh aspek pengalaman pengendalian banjir dan cadangan pengoperasian tindak balas bencana bagi memastikan mekanisme terbaik dapat diaplikasi semua agensi pada masa depan.

Perkara dibincangkan pada mesyuarat itu akan dipanjangkan dan dikoordinasi di peringkat negeri serta daerah supaya penyelarasan semua agensi terbabit menjadi lebih efektif dan proaktif dalam pengurusan bencana banjir.

"Semua pesuruhjaya polis negeri, ketua polis negeri dan ketua polis daerah sudah diarah mengadakan mesyuarat sama di peringkat masing-masing.

"Mesyuarat Jawatankuasa Tindak Balas Operasi Bencana diadakan susulan Mesyuarat Task Force Pengurusan Pasca Banjir dan Persediaan Gelombang Kedua Bencana Monsun Timur Laut dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali pada Isnin lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Razarudin berkata, beliau juga mengadakan lawatan kerja dan diberi taklimat mengenai tugas pemulihan serta pembersihan pasca banjir oleh polis dan agensi berkaitan, di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Hulu Langat, semalam.

Razarudin melihat kerja pembersihan di Taman Sri Nanding, Hulu Langat. - Foto PDRM
Razarudin melihat kerja pembersihan di Taman Sri Nanding, Hulu Langat. - Foto PDRM

"Saya diberi taklimat Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dan Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan.

"Taklimat ringkas mengenai pengoperasian pasca banjir turut disampaikan Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim ketika sesi lawatan kerja di Markas Taktikal (MARTAK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pusat Kokurikulum Selangor, Hulu Langat.

"Saya juga melihat sendiri kerja pembersihan di Taman Sri Nanding, Hulu Langat," katanya.

Berita Harian X