Jumaat, 31 Disember 2021 | 3:06pm

UUM bantu biayai kos rawatan Nur Nabilah

ALOR SETAR: Universiti Utara Malaysia (UUM) memberi jaminan akan membantu membiayai kos rawatan pelajar, Nur Nabilah Mohd Azahar, 25, yang terbabit kemalangan air ketika menjalani latihan industri di Dive Division Curacao, Caribbean, Selasa lalu.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UUM, Prof Dr Haim Hilman Abdullah, berkata akibat nahas berkenaan, kaki kanan pelajar berasal dari Alor Setar itu terpaksa dipotong bagi menyelamatkan nyawanya.

"Nur Nabilah adalah pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan di Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM) UUM.

"Beliau menjalani latihan praktikum di negara itu selama empat bulan bermula 13 September lalu hingga 13 Januari 2022.

"Pihak kami difahamkan Nur Nabilah akan menjalani rawatan susulan dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UUM, Prof Dr Haim Hilman Abdullah. - Foto ihsan UUM
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UUM, Prof Dr Haim Hilman Abdullah. - Foto ihsan UUM

Sehubungan itu, Haim Hilman berkata, pihak universiti bersetuju membantu mendahulukan pembayaran kos rawatan hospital Nur Nabilah sebelum tuntutan insurans perlindungan penuh yang diambil pelajar berkenaan dibuat.

Beliau berkata, pihak universiti juga akan membantu keluarga Nur Nabilah ke Curacao untuk melihat keadaan pelajar terbabit.

Selain itu, membuat pelarasan dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Pejabat Kedutaan Luar Negara Wisma Putra berhubung proses membawa pulang Nur Nabilah, bergantung pada tahap kesihatan serta kebenaran daripada hospital di Curacao.

"Pihak universiti telah mengadakan perbincangan dengan majikan tempat mangsa menjalani latihan industri, selain melawat keluarga mangsa dan berurusan dengan pihak insurans.

"Pengurusan UUM juga akan memastikan kebajikan dan apa saja bentuk bantuan diperlukan pihak mangsa, dapat dipenuhi serta urusan merawat pelajar terbabit berjalan lancar," katanya.

Berita Harian X