Jumaat, 31 Disember 2021 | 11:40am
 Foto hiasan
Foto hiasan

Lelaki korban keempat banjir di Kelantan

PASIR MAS: Seorang lelaki berusia 46 tahun menjadi korban keempat banjir yang melanda Kelantan sejak 17 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata mangsa keempat itu dikenali sebagai Mohd Razi Jaafar yang ditemukan lemas pada jam 5.30 petang semalam selepas dipercayai terjatuh ke Sungai Lubok Jong dekat Kampung Serongga, di sini.

Beliau berkata pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 3.20 petang semalam daripada abang mangsa yang mengatakan adiknya lemas.

"Sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas dan Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Pengkalan Chepa telah menjumpai mangsa di celah akar pokok di tebing sungai iaitu empat kilometer dari rumahnya.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk proses bedah siasat, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut," katanya dalam satu kenyataan. – BERNAMA

Berita Harian X