KUALA LUMPUR: Tahun 2021 sudah pasti menjadi takwim yang tidak akan dilupakan, sarat dengan pelbagai kisah mencakupi setiap peringkat kehidupan rakyat Malaysia.
Kisah penularan COVID-19 yang berlarutan sejak tahun lalu, membawa kepada penemuan vaksin, tragedi kemalangan dan bencana alam tidak diduga mewarnai sepanjang tahun 2021.
Berikutan itu, BH membawa sorotan sepanjang tahun 2021 yang akan kekal dalam lipatan sejarah untuk menjadi iktibar kepada semua.
23 Januari: Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengumumkan tiada kebenaran buka premis perjudian di seluruh negara, termasuk tindakan terhadap semua Ketua Polis negeri dan daerah.
23 Februari: Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yasin menerima suntikan vaksin COVID-19 keluaan Pfizer-BioNTech, sekali gus menjadi rakyat pertama negara ini yang berbuat demikian.
27 Mac: Majlis resepsi selebriti popular, Neelofa dengan suami, PU Riz didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP), berikutan tersebar gambar tetamu duduk berdekatan. Neelofa dan ahli keluarga dikenakan kompaun keseluruhan RM60,000.
30 April: Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang ke-13.
3 Mei: Neelofa sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila didakwa memuat naik video berada di sebuah kedai karpet di Nilai 3, Negeri Sembilan. Video berdurasi 15 saat itu dipercayai dirakamkan oleh Neelofa.
24 Mei: Dua gerabak aliran transit ringan (LRT) laluan Kelana Jaya bertembung menyebabkan 213 penumpang cedera dengan 47 daripadanya parah.
10 Jun 2021: AT&S, peneraju pembuatan papan litar bercetak (PCB) global dan substrat litar bersepadu berpangkalan di Austria memilih Malaysia sebagai lokasi kilang pengeluaran pertamanya di Asia Tenggara dengan pelaburan RM8.5 bilion.
20 Julai: Seorang Ketua Balai Polis bersama tiga anggotanya serta empat wanita orang awam ditahan hasil serbuan Bukit Aman, ketika berhibur dalam bilik khas di balai polis diketuainya di Kajang.
23 Julai - 8 Ogos: Olimpik Tokyo 2020, Malaysia meraih satu perak dan satu gangsa.
28 Julai: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, atas tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).
5 Ogos: Buat pertama kali jumlah kes COVID-19 negara merekodkan angka harian melebihi 20,000.
9 Ogos: Allahyarham Siti Sarah Raissuddin menghembuskan nafas terakhir Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia akibat COVID-19 selepas lebih 48 jam ditidurkan.
Terdahulu, arwah yang sedang mengandung tujuh bulan dibawa ke hospital pada hari terakhir kuarantin selepas mengalami gangguan pernafasan.
Beliau terpaksa ditidurkan dan melahirkan bayi lelaki, Ayash Affan pada 6 Ogos melalui pembedahan tanpa sedar.
13 Ogos: Empat anggota Tentera Udara Diraja Malaysia terkorban selepas ditembak seorang anggota lain, sebelum menembak dirinya sendiri.
16 Ogos: Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan selepas hilang sokongan majoriti Ahli Parlimen.
21 Ogos: Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan.
24 Ogos - 5 September: Paralimpik Tokyo 2020, Malaysia meraih tiga emas dan dua perak.
27 Ogos: Johor Darul Ta'zim (JDT) dimahkotakan juara Liga Super lapan kali berturut-turut.
30 Ogos: Porsche memilih Malaysia sebagai negara pertama di luar Eropah yang akan memasang model kereta sport terkemuka jenamanya.
4 Oktober: Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka bubar selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
24 Oktober: Pengarah tersohor, Mamat Khalid, 58, menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung dalam perjalanan ke Hospital Slim River, Perak
29 Oktober: Cukai Makmur diperkenal, iaitu cukai korporat dikenakan sekali sahaja ke atas syarikat yang memperoleh keuntungan melebihi RM100 juta bagi tahun taksiran 2022.
13 November: Artis serba boleh, Janna Nick, diisytihar Bintang Paling Popular dengan 86,374,777 undi pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34.
17 November: Seorang juruterbang TUDM terkorban dan seorang lagi parah selepas pesawat Hawk dinaiki mereka terhempas di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang.
20 November: Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
23 November: Bursa Malaysia fail saman pemula terhadap Serba Dinamik Holdings Bhd. Kes saman yag jarang berlaku kepada syarikat senaraian awam.
30 November: Kuala Lumpur City (KL City) FC merangkul Piala Malaysia edisi ke-100 tahun mengalahkan Johor Darul Ta'zim (JDT) 2-0.
15 Disember: Seramai 15 pendatang asing tanpa izin lemas selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Tanjung Balau, Johor.
17 Disember: Seorang ibu bersama lapan anaknya terkorban dalam nahas jalan raya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), dekat Shah Alam.
18 Disember: Banjir besar melanda lapan negeri mengakibatkan 48 orang terkorban dan lima masih hilang.
18 Disember: Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi 76 daripada 82 kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12.