Jumaat, 31 Disember 2021 | 11:08am
Foto BERNAMA
Foto BERNAMA

Pengecualian fi pembaharuan lesen, lesen tambahan pelancongan dilanjutkan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melanjutkan pengecualian fi pembaharuan lesen dan lesen tambahan bagi pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang memohon pembaharuan lesen bermula esok sehingga 30 Jun depan.

MOTAC dalam kenyataannya berkata, pengecualian fi pembaharuan lesen dan lesen tambahan turut diberikan kepada pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang belum mendapat kelulusan pembaharuan lesen disebabkan oleh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"MOTAC sentiasa prihatin dengan senario cabaran besar dan berterusan yang masih dihadapi oleh penggiat industri pelancongan susulan impak pandemik COVID-19.

"Mengambil kira cabaran berkenaan, MOTAC bersetuju untuk melaksanakan inisiatif terbabit termasuk mengecualikan fi pembaharuan lesen dan lesen tambahan bagi pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang sudah mendapat keputusan pembaharuan lesen namun tidak dapat membuat bayaran fi lesen disebabkan PPN," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, MOTAC iaitu agensi kerajaan yang menguatkuasakan Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482] dan Peraturan-Peraturan mempunyai bidang kuasa menguatkuasakan akta itu bagi melesenkan pengusaha pelancongan di bawah Seksyen 5 dan Pemandu Pelancong di bawah Seksyen 21.

"Justeru, dengan pelaksanaan perlanjutan inisiatif ini, MOTAC berharap pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang layak mengambil peluang ini untuk membuat permohonan pembaharuan lesen dalam tempoh yang ditetapkan mengikut tarikh tamat lesen masing-masing bagi memastikan pengecualian ini dapat dinikmati.

"Pengecualian fi pembaharuan lesen sehingga 30 Jun depan ini membabitkan 2,219 syarikat pengusaha pelancongan yang berjumlah RM 1,646,100," katanya.

Dalam pada itu, MOTAC menggesa semua pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong berkenaan untuk membuat pembaharuan lesen dalam tempoh yang ditetapkan bagi memastikan pematuhan kepada perundangan sedia ada.

Berita Harian X