KUALA LUMPUR: Setakat jam 9 malam tadi, seramai 4,773 mangsa banjir daripada 1,436 keluarga ditempatkan di 54 pusat penempatan sementara (PPS) di lima negeri.
Berdasarkan aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), negeri yang terjejas susulan banjir termasuk Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kelantan dan Terengganu.
Mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 1,186 orang malam ini, berbanding 836 orang petang tadi. Semua mangsa membabitkan 350 keluarga ditempatkan di 14 pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah iaitu Jeli dan Kuala Krai.
Di Terengganu, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 388 orang membabitkan 114 keluarga dengan dua PPS dibuka di daerah Dungun, iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja dan Dewan Serbaguna Kampung Shukur.
Di Pahang, berlaku penurunan jumlah PPS, daripada 43 yang beroperasi petang tadi, ia merekodkan pengurangan kepada 33 PPS. Jumlah mangsa banjir semasa adalah 2,704 orang daripada 831 keluarga.
Di Selangor, hanya empat PPS beroperasi ketika ini, membabitkan 466 mangsa daripada 132 keluarga.
Dalam pada itu, jumlah mangsa banjir di Negeri Sembilan kekal kepada 29 orang membabitkan sembilan keluarga.
Semua mereka ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Puom, Jelebu.