Khamis, 30 Disember 2021 | 10:37pm
Lelaki yang juga mangsa keempat banjir Kelantan ditemukan lemas selepas perahu dinaiki terbalik ketika memukat ikan Kampung Serongga, Repek, Pasir Mas. - Foto PDRM
Lelaki yang juga mangsa keempat banjir Kelantan ditemukan lemas selepas perahu dinaiki terbalik ketika memukat ikan Kampung Serongga, Repek, Pasir Mas. - Foto PDRM

Mangsa keempat banjir Kelantan ditemui

PASIR MAS: "Sudah seminggu saya tidak berjumpa dengan arwah adik dan hari ini mendapat khabar duka yang dia mati lemas selepas perahu dinaikinya terbalik," kata Mohd Aziz Jaafar, 53.

Menurut Mohd Aziz, sebelum kejadian arwah adik bongsunya, Mohd Razi Jaafar, 45, dikatakan keluar menahan pukat ikan seorang diri di sungai berhampiran rumah menggunakan perahu milik seorang penduduk.

Katanya, tidak beberapa lama selepas itu, seorang penduduk yang kebetulan berada di kawasan sungai berkenaan terkejut apabila melihat perahu yang dinaiki adiknya itu terbalik.

Mohd Aziz yang juga abang sulung daripada empat beradik itu berkata, selepas beberapa jam operasi mencari dan menyelamat, jasad adiknya ditemui dan mereka reda dengan kejadian.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Mohd Nasaruddin M Nasir berkata mangsa banjir keempat di Kelantan itu ditemukan lemas jam 5.30 petang tadi selepas dipercayai terjatuh ke Sungai Lubok Jong dekat Kampung Serongga, di sini.

Polis menerima maklumat jam 3.20 petang tadi daripada abang mangsa yang mengatakan adiknya lemas.

"Sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas dan Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Pengkalan Chepa menjumpai mangsa di celah akar pokok di tebing sungai iaitu empat kilometer dari rumahnya.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk proses bedah siasat, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut," katanya dalam kenyataan, hari ini. - BERNAMA

Berita Harian X