Khamis, 30 Disember 2021 | 9:05pm
Dron merakam kesan tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai-Blue Valley, Cameron Highlands. - Foto NSTP/SHARUL HAFIZ ZAM
Dron merakam kesan tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai-Blue Valley, Cameron Highlands. - Foto NSTP/SHARUL HAFIZ ZAM

Dron banyak membantu bomba

JELI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan teknologi robotik dron bagi memantau banjir di seluruh negara.

Pengarah Bahagian Unit Udara JBPM, Penolong Kanan Pesuruhjaya, Nazili Mahmood, berkata keperluan dron penting dalam membuat jangkauan dan menilai tahap risiko di kawasan terjejas banjir.

Katanya, seramai enam anggota dan pegawai bertanggungjawab untuk pengurusan dron di setiap negeri dengan turut dibantu 10 kakitangan di ibu pejabat yang berpengalaman serta terlatih.

"Penggunaan teknologi dron diperlukan untuk tinjauan banjir secara menyeluruh, selain dapat menganggarkan air pasang surut serta banyak lagi kelebihan lain.

"Dron ini juga dapat merakam gambar sebagai maklumat awal kepada masyarakat. Teknologi ini juga digunakan bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan kerana boleh digunakan untuk berkomunikasi dan menghantar mesej suara.

"Tidak dapat dinafikan penggunaan dron menjadi pelengkap dalam setiap operasi membabitkan unit udara dalam membuat tinjauan supaya maklumat diperoleh lebih cepat dan tepat," katanya selepas menyampaikan bantuan banjir kepada penduduk di Kampung Legeh, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah JBPM Kelantan, Jainal @ Zainal Madasin.

Nazili berkata, dron juga digunakan untuk tujuan siasatan kebakaran bagi melihat kawasan terjejas kebakaran melalui penggunaan kamera sinar infra merah bagi mengenal pasti 'hotspot' untuk melakukan pemadaman.

"JBPM juga bersedia daripada segi logistik dan penyelamat unit udara dengan membekalkan tujuh helikopter di seluruh negara. Lima ditempatkan di Semenanjung dan dua lagi di Sabah dan Sarawak.

"Di Lembah Klang dan Pahang minggu lalu, kita menggunakan khidmat unit udara bagi membawa mangsa ke tempat selamat, selain menghantar bekalan makanan di tempat yang terputus hubungan.

"Ini satu usaha yang dilakukan oleh JBPM bagi membantu mereka yang terkesan dengan fenomena Monsun Timur Laut," katanya.

Nazili (kanan) bersama Pengarah JBPM Kelantan, Jainal @ Zainal Madasin, (kiri) menyampaikan sumbangan banjir di Kampung Legeh, Jeli, hari ini. - Foto NSTP/SYAHERAH MUSTAFA
Nazili (kanan) bersama Pengarah JBPM Kelantan, Jainal @ Zainal Madasin, (kiri) menyampaikan sumbangan banjir di Kampung Legeh, Jeli, hari ini. - Foto NSTP/SYAHERAH MUSTAFA

Berita Harian X