Khamis, 30 Disember 2021 | 8:53pm
Jemaah umrah yang tiba di KLIA
Jemaah umrah yang tiba di KLIA

'Jemaah umrah perlu akur SOP, bantu cegah penularan varian Omicron'

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melaksanakan pemantauan berterusan dan menggerakkan tindakan penguatkuasaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam usaha memastikan jemaah umrah yang tiba di tanah air, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 ditetapkan.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata dalam masa sama, agensi pengendali umrah akan terus dimaklumkan mengenai sebarang perubahan berkaitan SOP semasa.

Katanya, tindakan itu diambil bagi mengekang penularan COVID-19, khususnya jangkitan varian baharu, Omicron susulan peningkatan kes membabitkan jemaah yang pulang dari mengerjakan umrah.

"MOTAC mengikuti rapat penularan kes COVID-19 dalam kalangan jemaah yang baru pulang dari ibadat umrah dan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam memastikan keselamatan Keluarga Malaysia yang mengerjakan ibadat itu.

"Bagi tujuan ini, SOP Gelembung Perjalanan Bagi Tujuan Melaksanakan Ibadah Umrah Menggunakan Perkhidmatan Pengendali Pelancongan Berlesen dibentang oleh MOTAC dan diluluskan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"SOP berkenaan adalah tertakluk kepada SOP yang ditetapkan kementerian atau agensi mengikut fungsi dan bidang kuasa masing-masing," katanya kepada BH, hari ini.

Selasa lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata KKM belum bercadang menangguhkan perjalanan rakyat Malaysia menunaikan ibadah umrah, susulan peningkatan kes positif varian Omicron dalam kalangan jemaah yang pulang dari Arab Saudi.

Beliau berkata, pihaknya kini meningkatkan pengawasan kuarantin dengan memperkenalkan pemakaian peranti pengesan digital sebaik jemaah tiba di Malaysia.

Nancy berkata, MOTAC sentiasa mematuhi semua SOP yang ditetapkan KKM, termasuk dalam aspek tempoh kuarantin dan kaedah ujian pengesanan yang digunakan.

"Kami sedar KKM juga telah membuat beberapa perubahan SOP mengikut keperluan semasa, yang mana akan diterima pakai oleh MOTAC, termasuklah prosedur saringan di KLIA apabila jemaah pulang ke tanah air.

"Pada 23 Disember lalu, kami menjalankan sesi libat urus bersama KKM, persatuan industri pelancongan dan syarikat pengendali umrah bertujuan menyampaikan maklumat dan prosedur terkini bagi mengekang penularan virus baru Omicron," katanya.

Berita Harian X