Khamis, 30 Disember 2021 | 8:43pm

TERKINI: Sungai Tembeling di Kampung Bantal mula melimpah

JERANTUT: Hujan renyai yang berterusan sejak awal pagi tadi hingga kini, menyebabkan air Sungai Tembeling mulai melimpah kembali ke Kampung Bantal, Hulu Tembeling petang tadi.

Siren amaran berbunyi pada pukul 5.30 petang tadi, menandakan paras air mencapai paras berjaga-jaga sebagai amaran untuk penduduk kampung untuk bersiap sedia menghadapi limpahan dan banjir.

Seorang penduduk, Japrun Ali, 62, berkata penduduk Kampung Bantal, terutamanya peniaga di pinggir Sungai Tembeling kini sibuk mengemas barangan jualan masing-masing.

"Kebanyakan mereka mempunyai rumah rakit di sebelah kedai, malah ada yang di dalam kedai dan apabila, paras air naik mereka tidak perlu memindahkan barang ke tempat lain.

"Ketika ini, air mula memasuki sehingga 0,3 meter ke dalam lapan kedai runcit dan kedai makan di situ," katanya.

Japrun berkata, keadaan air Sungai Tembeling juga agak deras dengan membawa kayu hanyut dari hulu.

Peniaga kedai makan, Hadi Mat Shah, 63, berkata beliau tidak bimbang kerana kedai makannya sudah disediakan tong sebagai pelampung di bahagian bawahnya, membolehkan ia terapung apabila paras sungai meningkat.

Peniaga runcit, Wan Norahan Wan Mahamud, 65, pula sudah berkemas barang-barang niaga sejak jam 10 pagi tadi selepas mendapati hujan berterusan tanpa henti.

Katanya, beliau sudah mengalihkan barang-barang ke rumah rakit berhampiran kedai bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini.

Beliau berkata, kebanyakkan peniaga di situ sudah biasa menghadapi musim banjir setiap tahun, terutamanya ketika musim tengkujuh.

Katanya, sehingga jam 7 malam ini, hujan masih berterusan dan jeti bot mulai dinaiki air, manakala Dataran Bantal dan pondok menunggu bot penambang dinaiki air sedalam 0.5 meter.

Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan hujan lebat dijangka berterusan di Pahang, membabitkan kawasan Jerantut, Lipis, Raub, Temerloh , Maran, Pekan dan Rompin.

Sungai Tembeling dekat Kampung Bantal, Jerantut mulai melimpah petang tadi susulan hujan berterusan sejak awal pagi.
Sungai Tembeling dekat Kampung Bantal, Jerantut mulai melimpah petang tadi susulan hujan berterusan sejak awal pagi.
Berita Harian X