Khamis, 30 Disember 2021 | 4:52pm
Mahkamah Tinggi Melaka menetapkan pada 7 dan 11 Februari ini untuk mendengar bantahan awal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan dua yang lain terhadap petisyen pilihan raya dikemukakan calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad. - Foto hiasan BERNAMA
Mahkamah Tinggi Melaka menetapkan pada 7 dan 11 Februari ini untuk mendengar bantahan awal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan dua yang lain terhadap petisyen pilihan raya dikemukakan calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad. - Foto hiasan BERNAMA

SPR, 2 lagi bantah petisyen DUN Sungai Udang

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Melaka menetapkan pada 7 dan 11 Februari ini untuk mendengar bantahan awal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan dua yang lain terhadap petisyen pilihan raya dikemukakan calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

Mohamad Ali yang tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November, memfailkan petisyen pilihan raya itu pada 14 Disember lalu bagi membatalkan keputusan yang memihak kepada Dr Mohd Aleef Yusof daripada Perikatan Nasional (PN).

Peguam Kanan Persekutuan S Narkunavathy yang mewakili SPR dan Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi DUN Sungai Udang memaklumkan tarikh itu ketika dihubungi pemberita selepas prosiding pengurusan kes di hadapan Datuk Azman Abdullah.

Mahkamah tinggi akan mendengar bantahan awal daripada SPR dan Pegawai Pengurus Pilihan Raya serta Dr Mohd Aleef yang dinamakan sebagai responden dalam petisyen itu.

Kerusi DUN Sungai Udang dimenangi oleh Dr Mohd Aleef dalam pertembungan empat penjuru, dengan majoriti 530 undi. Mohamad Ali memfailkan petisyen pilihan raya itu kerana mendakwa terdapat unsur rasuah.

Dalam petisyennya,Mohamad Ali berkata, Dr Mohd Aleef sebelum ini adalah Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya sebelum dicalonkan BERSATU untuk bertanding di Sungai Udang.

Mohamad Ali mendakwa Dr Mohd Aleef tidak pernah dipilih sebagai ADUN dan tidak pernah bertanding dalam mana-mana pilihan raya untuk bahagian itu dan bergantung kepada Ahli Parlimen Tanah Merah Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz untuk memperkenalkan beliau kepada pemilih atau pengundi.

Ikmal Hisham adalah bekas ahli UMNO yang menyertai BERSATU selepas BN tewas kepada Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Mohamad Ali berkata, Dr Mohd Aleef melakukan amalan rasuah pada pilihan raya itu seperti dinyatakan dalam Seksyen 32(c) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Dakwanya, Mohd Aleef dan Ikmal Hisham memberikan hadiah dalam bentuk tunai atau barangan bernilai untuk mengubah keputusan pilihan raya bagi kawasan terbabit.

Sehubungan itu, Mohamad Ali memohon perisytiharan bahawa Dr Mohd Aleef tidak dipilih dengan sewajarnya dan PRN di kawasan itu; bahawa keputusan pilihan raya berkenaan adalah terbatal; dan perintah atau relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Berita Harian X