Khamis, 30 Disember 2021 | 2:37pm

ATM gerakkan anggota, aset ke 86 tempat

KOTA BHARU: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengatur-gerak anggota dan aset ke 86 lokasi sebagai persiapan menghadapi gelombang kedua banjir serta membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan agensi berkaitan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata ini membabitkan 115 pegawai, 2,765 anggota, 160 unit trak tiga tan, 129 unit bot, 109 unit enjin bot dan enam unit trak tujuh tan.

Katanya, ATM meningkatkan kesiapsiagaan bagi menghadapi gelombang banjir kedua, termasuk meletakkan satu batalion dalam keadaan bersedia di setiap negeri, untuk diatur-gerak ke kawasan banjir.

"Saya sudah mengarahkan Panglima ATM (Tan Sri Affendi Buang) serta Panglima-Panglima Perkhidmatan untuk memastikan kesiapsiagaan anggota ATM, terutama di negeri-negeri banjir, berada pada tahap tertinggi.

"Ini penting demi memastikan atur-gerak anggota dan aset dapat dilaksanakan pada bila-bila masa sekiranya diperlukan, sekaligus membolehkan operasi menyelamat mangsa banjir digerakkan pada masa yang sepatutnya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas lawatan kerja dan tinjauan di Markas Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 bgd).

Anggota tentera membersihkan longkang di Taman Seri Nanding, Hulu Langat. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Anggota tentera membersihkan longkang di Taman Seri Nanding, Hulu Langat. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Hishammuddin berkata, setakat ini ATM sudah melaksanakan beberapa pendekatan, termasuk satu batalion sentiasa diletakkan dalam keadaan bersiap siaga di setiap negeri dijangka banjir untuk diatur-gerak ke lokasi.

"Selain itu, ATM mengatur-gerak pegawai bertanggungjawab ke semua Pusat Kawalan Operasi Bencana negeri atau daerah.

"Pada masa sama, pasukan perubatan ATM dalam keadaan sedia bagi melaksanakan bantuan perubatan dan kawalan pencegahan jangkitan COVID-19 di pusat pemindahan sementara (PPS).

"Antara lain merancang koordinasi bantuan pesawat udara ATM, selain memastikan hospital dan poliklinik ATM sentiasa dalam keadaan siap-siaga," katanya.

Beliau berkata, perancangan ATM ini akan dikemas kini dari masa ke masa mengikut keadaan banjir di sesebuah negeri dan sesuatu kawasan.

"Saya serta kepimpinan tertinggi ATM dan Kementerian Pertahanan akan memastikan ATM terus melakukan segala usaha yang terdaya, demi memelihara keselamatan rakyat sepanjang musim banjir ini," katanya.

Hishammuddin melawat Markas 8 Briged, Kem Pengkalan Chepa, hari ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Hishammuddin melawat Markas 8 Briged, Kem Pengkalan Chepa, hari ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Anggota ATM membantu menghantar bantuan makanan menggunakan bot selepas penduduk terputus hubungan di Kampung Bemban, Simpang Durian, Negeri Sembilan. - Foto NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin
Anggota ATM membantu menghantar bantuan makanan menggunakan bot selepas penduduk terputus hubungan di Kampung Bemban, Simpang Durian, Negeri Sembilan. - Foto NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin
Berita Harian X