JELI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Jeli terpaksa menggunakan tali bagi menyelamatkan dua warga emas dan seorang wanita kurang upaya (OKU) yang terperangkap banjir di rumah mereka di Kampung Baru Jalan Malaysia, di sini, pagi tadi.
Tiga mangsa terbabit kemudian dipindahkan ke rumah saudara yang berada di lokasi tinggi, selepas kediaman mereka dinaiki air setinggi 0.5 meter pada jam 9 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohd Adni Ibrahim, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8 pagi memaklumkan kejadian itu dan empat anggota yang menaiki kenderaan pacuan empat roda bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, sebaik tiba, air sudah memasuki rumah mangsa dan pihaknya segera memindahkan mereka terbabit.
"Kami menggunakan tali untuk mengeluarkan semua mangsa sebelum membawa mereka pindah ke lokasi selamat.
"Paras air naik berikutan hujan lebat sejak semalam, menyebabkan beberapa kampung dilanda banjir. Antara kawasan dinaiki air termasuk Sungai Satan, Bukit Lakota, Lubok Bongor, Pasir Dusun dan Gemang," katanya kepada BH, hari ini.
Mohd Adni berkata, pihaknya bersama pasukan keselamatan lain berusaha memindahkan mangsa lain ke lokasi selamat termasuk ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang sudah mula dibuka.
"Saya berharap penduduk membuat persediaan awal bagi mengelak mereka panik jika paras air terus meningkat," katanya.