Khamis, 30 Disember 2021 | 9:21am

Tidak lena tidur risau dilanda banjir lagi

RANTAU PANJANG: "Saya tidak lena tidur memikirkan keadaan cuaca tidak menentu, kerana risau berlaku gelombang banjir seterusnya seperti yang dijangka bermula Jumaat ini," luah Che Hasniza Che Omar, 44.

Walaupun masih terkesan dengan kejadian rumahnya di Kampung Tersang, di sini, ditenggelami air hingga hampir mencecah bumbung selama seminggu sejak 17 Disember lalu, beliau kini perlu bersiap sedia dengan kemungkinan besar terpaksa berdepan bencana alam itu lagi dalam masa terdekat.

Che Hasniza berkata, rata-rata penduduk memang sedia maklum beberapa gelombang banjir akan melanda setiap tahun, namun insiden terbaru cukup mencemaskan beliau sekeluarga berikutan paras banjir terlalu tinggi antara tiga hingga empat meter (m).

"Selepas media melaporkan banjir dijangka melanda lagi, saya mula tidak dapat tidur lena selepas fobia dengan bah baru-baru ini di mana kami sekeluarga terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) selama seminggu.

"Saya juga mengambil keputusan untuk tidak membawa turun barangan yang sudah disimpan kemas di tempat tinggi sebelum ini sebagai langkah berjaga-jaga.

Che Hasniza menunjukkan tikar dan beg mengandungi pakaian yang digantung di tempat tinggi sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi kemungkinan banjir melanda lagi. - NSTP/Syaherah Mustafa
Che Hasniza menunjukkan tikar dan beg mengandungi pakaian yang digantung di tempat tinggi sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi kemungkinan banjir melanda lagi. - NSTP/Syaherah Mustafa

"Saya dan penduduk kampung amat berharap banjir akan datang lagi tidak sebesar sebelum ini kerana bimbangkan keselamatan diri serta kediaman kami yang mungkin boleh dihanyutkan arus deras," katanya.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin membantu mangsa banjir di seluruh negara.

Semalam, media melaporkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan banjir akan berlaku di empat negeri, iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang serta Johor, bermula esok dan Sabtu ini, susulan amaran hujan berterusan tahap waspada dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).

Menurut JPS, banjir dijangka berlaku di Kelantan bermula jam 8 malam esok di Lembangan Sungai Kelantan dengan membabitkan daerah Gua Musang, Kuala Krai, Jeli, Tanah Merah dan Machang.

Selain itu, banjir turut dijangka berlaku di Lembangan Sungai Golok membabitkan daerah Tanah Merah (Jenob), Pasir Mas (Rantau Panjang) dan kawasan sekitar berisiko banjir.

Sementara itu penduduk Kampung Tasek Bakong, di sini, Mohamad Yakub, 64, mengaku tidak berhenti berdoa agar banjir yang dijangka melanda lagi hanya bah biasa.

"Kampung ini sukar dimasuki sekiranya banjir dan hanya perahu atau bot menjadi pengangkutan utama apabila kawasan dinaiki air. Oleh itu, risiko terperangkap akibat banjir amat tinggi, sekali gus merisaukan penduduk di sini," katanya.

Che Hasniza melihat banjir yang masih bergenang di kawasan sekitar rumahnya. - NSTP/Syaherah Mustafa
Che Hasniza melihat banjir yang masih bergenang di kawasan sekitar rumahnya. - NSTP/Syaherah Mustafa
Berita Harian X