Rabu, 29 Disember 2021 | 11:43pm
Petugas Klinik Perubatan The Pearl, Priya Kumaresan menunjukkan vaksin Sinovac antara jenis dos penggalak yang akan diberi kepada penerima di Klinik Perubatan The Pearl, Jalan King, Georgetown. - Foto NSTP/MIKAIL ONG
Petugas Klinik Perubatan The Pearl, Priya Kumaresan menunjukkan vaksin Sinovac antara jenis dos penggalak yang akan diberi kepada penerima di Klinik Perubatan The Pearl, Jalan King, Georgetown. - Foto NSTP/MIKAIL ONG

Imuniti menurun selepas dos lengkap

KUALA LUMPUR: Pengambilan dos penggalak berupaya memastikan tempoh perlindungan yang optimum untuk penerima vaksin COVID-19 dan mencegah daripada dijangkiti varian membimbangkan (VOC), termasuk Omicron.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Mohd Hanif Zailani, berkata berdasarkan data tempatan dan luar negara, terdapat penurunan perlindungan terhadap jangkitan COVID-19 mengikut masa, selepas menerima dos primer.

"Berdasarkan data dikeluarkan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR), Institut Kesihatan Negara (NIH), berlaku penurunan imuniti dalam tempoh tiga hingga lima bulan, selepas mendapat dos kedua vaksin COVID-19.

"Bagi vaksin Pfizer, dalam tempoh satu hingga dua bulan selepas menerima dos kedua, daripada 88.7 peratus imuniti dalam badan, ia menurun sebanyak 20.7 peratus selepas tempoh tiga hingga lima bulan, iaitu kepada 68.0 peratus.

"Bagi Sinovac, imuniti dalam bulan pertama dan kedua (selepas suntikan dos kedua) sekitar 76.1 peratus, dan menurun dalam tempoh lima hingga enam bulan sebanyak 48.2 peratus dengan imuniti serendah 27.9 peratus," katanya ketika menyampaikan tajuk Dos Penggalak: Perlu ke? dalam program Webinar Dos Penggalak: Peranan MyChampion yang disiarkan secara langsung di Facebook KKM malam ini.

Dr Mohd Hanif berkata, disebabkan itu, dos penggalak amat diperlukan kerana hasil kajian menunjukkan antibodi dalam badan penerima akan menurun selepas menerima dos lengkap.

Beliau berkata, dos penggalak juga berkesan bagi mengelakkan daripada jangkitan varian baharu COVID-19 yang kadar mutasinya lebih pantas, berbanding varian Delta.

"Di Amerika Syarikat dan United Kingdom (UK) turut mengesyorkan dos penggalak sebagai langkah pencegahan untuk varian Omicron. Mengikut kajian di luar negara, pemberian dos penggalak ini dapat meningkatkan kembali imuniti terhadap Omicron.

"Contohnya dalam kajian oleh Pfizer yang membandingkan Omicron dengan COVID-19 asal, perlindungan untuk Omicron sangat rendah bagi yang menerima dua dos, tetapi apabila menerima dos penggalak, antibodi meningkat 25 kali ganda," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan salah faham sesetengah pihak yang beranggapan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menentang pelaksanaan dos penggalak apabila mengeluarkan kenyataan ia bukan jalan keluar bagi pandemic COVID-19.

"WHO tidak menentang pelaksanaan dos penggalak. Sebaliknya, badan itu memberi penekanan kepada keadilan, memandangkan ada negara miskin yang liputan vaksinasinya masih pada tahap rendah.

"Dalam laporan (WHO) menyebut, hanya lapan peratus penduduk di negara mundur yang mendapat vaksinasi satu dos, berbanding negara kaya. Jadi, dari segi ekuiti, itu yang menjadi fokus WHO," katanya.

Varian Omicron menular dengan pantas di seluruh dunia. - Grafik NSTP
Varian Omicron menular dengan pantas di seluruh dunia. - Grafik NSTP

Berita Harian X