Rabu, 29 Disember 2021 | 9:21pm
Kerja pembersihan pascabanjir di Kampung Baru Hicom. - Foto ihsan MBSA
Kerja pembersihan pascabanjir di Kampung Baru Hicom. - Foto ihsan MBSA

Pascabanjir: Lebih 13,000 tan sampah pukal dikutip di Shah Alam

SHAH ALAM: Kira-kira 13,800 tan sampah pukal sudah dikutip Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di beberapa kawasan terjejas banjir, setakat semalam.

Ia membabitkan kawasan Taman Sri Muda, Seksyen 25; Padang Jawa; Kampung Kebun Bunga; Kampung Baru Hicom; Kampung Lombong dan Kampung Lanchong Jaya.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad, berkata kerja pembersihan masih diteruskan KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM), kakitangan MBSA serta kontraktor tambahan yang dilantik PBT itu.

"Bagi memudah dan mempercepatkan kerja pembersihan serta kutipan sampah pascabanjir, MBSA juga mengenal pasti tiga stesen pemindahan sementara sisa banjir di Seksyen 21, Seksyen 34 dan Seksyen 25," katanya kepada BH, hari ini.

Dalam pada itu, sebanyak 11 stesen pemindahan sementara dibuka untuk sampah pukal, termasuk di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Sepang dan Majlis Bandaraya Subang Jaya.

Berita Harian X