Rabu, 29 Disember 2021 | 9:09pm
Pusat pengumpulan sementara di Taman Emas bagi barangan pukal terkesan banjir yang akan dilupuskan. - NSTP/SAMADI AHMAD
Pusat pengumpulan sementara di Taman Emas bagi barangan pukal terkesan banjir yang akan dilupuskan. - NSTP/SAMADI AHMAD

Kutipan sampah pascabanjir di Sepang cecah 1,500 tan

DENGKIL: Kutipan sampah pascabanjir di Sepang sejak Rabu minggu lalu sudah mencecah jumlah 1,500 tan, setakat semalam.

Ketua Operasi KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) Cawangan Sepang, Mohd Fauzan Hushim, berkata ketika ini tiga kawasan dijadikan pusat sementara bagi melonggokkan barangan elektrik dan perabot rosak sebelum dihantar ke pusat pelupusan, bagi mengelakkan kesesakan di tempat pembuangan.

Beliau berkata, tiga kawasan terbabit ialah Taman Emas di Dengkil; Taman Lestari Mewah, Jenderam; dan Pusat Perniagaan Medan 120, Bandar Baru Salak Tinggi.

Katanya, jumlah purata pungutan sehari ialah antara 200 hingga 300 tan sampah membabitkan kawasan terkesan banjir, iaitu meningkat 10 kali ganda berbanding kurang satu tan pada hari biasa.

"Inisiatif diadakan Kerajaan Selangor ini bertujuan mengelak longgokan sampah di kawasan kediaman penduduk serta kesesakan di tapak pelupusan sampah disebabkan banyak lori keluar masuk," katanya.

Beliau berkata, pihak syarikat meningkatkan kerja kutipan sampah kesan banjir di Sepang dengan menyediakan 33 lori jenis tiga dan lima tan bersama 69 kakitangan.

Katanya, kerja memindahkan sampah pukal di kediaman penduduk turut mendapat bantuan lori Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang).

Berita Harian X