Rabu, 29 Disember 2021 | 6:59pm
Warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan membantu mencuci rumah Rohani Ahmad, 67, yang dinaiki air setinggi 0.3 dalam bencana banjir pada 19 Disember lalu. NSTP/Noor Hidayah Tanzizi
Warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan membantu mencuci rumah Rohani Ahmad, 67, yang dinaiki air setinggi 0.3 dalam bencana banjir pada 19 Disember lalu. NSTP/Noor Hidayah Tanzizi
Pemilik kereta Nuarjan Sulaiman, 35 melihat kereta yang ditenggelami banjir di Batu 18, Hulu Langat. - Foto NSTP/ASWADI ALIAS
Pemilik kereta Nuarjan Sulaiman, 35 melihat kereta yang ditenggelami banjir di Batu 18, Hulu Langat. - Foto NSTP/ASWADI ALIAS

15,000 keluarga terkesan banjir dibantu menerusi GDRN

KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Rangkaian Tindak Balas Bencana Syarikat Berkaitan Kerajaan dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GDRN) menggerakkan usaha menyediakan bantuan pembaikan rumah dan kenderaan peribadi serta bantuan keperluan asas kepada mangsa banjir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata setakat ini, GDRN membantu kira-kira 15,000 keluarga yang terkesan akibat banjir sejak 19 Disember lalu.

"Bagi memastikan bantuan yang menyeluruh, di samping bantuan tunai, kerajaan juga akan menyediakan bantuan pembaikan rumah dan kenderaan peribadi serta bantuan keperluan asas kepada mangsa banjir," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, bagi menambah akses tunai kepada mangsa yang memerlukan, beberapa inisiatif lain turut diperkenalkan.

"Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan dana keseluruhan RM100 juta menawarkan pembiayaan sehingga RM10,000 pada kadar 0 peratus dengan tempoh bayaran balik sehingga 3.5 tahun, termasuk moratorium bayaran balik selama enam bulan.

"Selain itu, Bank Negara Malaysia (BNM) juga dengan ketersediaan dana RM500 juta menyediakan Kemudahan Bantuan Bencana (DRF) melalui bank komersial iaitu sehingga RM500,000 kepada pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan sehingga RM75,000 kepada usahawan mikro.

"Tempoh pembiayaan sehingga lima tahun, termasuk moratorium bayaran balik sehingga enam bulan dengan kadar pembiayaan sehingga 3.5 peratus setahun," katanya.

Beliau berkata, permohonan untuk pinjaman BSN dan dana DRF dibuka mulai Isnin lalu.

"Untuk makluman, dalam dua hari pertama sahaja iaitu setakat semalam, BSN menerima nilai permohonan sebanyak RM25 juta dan sudah pun meluluskan pinjaman bernilai RM10 juta," katanya.

Berita Harian X