KUALA LUMPUR: Kerajaan menyediakan RM100 juta bagi menggerakkan kerja pascabanjir.
Selain itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri, berkata kerajaan menambah RM50 juta lagi khusus untuk Selangor dan Pahang bagi tujuan yang sama.
Katanya, peruntukan itu akan digunakan bagi melaksanakan kerja pembaikan dan pembersihan rumah penduduk dan kemudahan awam yang rosak.
"Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersama Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta kontraktor yang dilantik sedang menjalankan kerja pembersihan di kawasan yang terkesan dengan bencana banjir," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ismail Sabri berkata, bagi mempercepat kerja mengutip, membersih dan menghantar sisa banjir ke tapak pelupusan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menambah sumber tenaga.
Katanya, sumber tenaga itu melalui pelantikan lebih banyak kontraktor untuk turun ke lapangan, termasuk kawasan yang tidak dapat diakses sebelum ini.
"Kerajaan memperuntuk RM10 juta tambahan, antaranya bagi membiayai perkhidmatan kutipan sisa banjir serta kerja pembersihan jalan, fasiliti awam dan halaman rumah mangsa," katanya.
Perdana Menteri berkata, sehingga semalam sebanyak 3,000 tan sisa banjir dibersihkan di lima buah negeri yang terkesan iaitu Selangor, Pahang, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka.
Katanya, lebih 1,700 tenaga kerja di bawah seliaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan membantu kerja pembersihan.