Rabu, 29 Disember 2021 | 4:56pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Wajib taati ulil amri lawan penularan Omicron

KUALA LUMPUR: Jemaah umrah dan mereka yang pulang mengerjakan ibadah berkenaan dinasihatkan patuh dengan arahan pihak berkuasa berhubung pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman, berkata hakikatnya dalam Islam, mentaati ulil amri (kerajaan atau pihak autoriti) yang memerintah sebuah negara adalah wajib.

"Justeru, dalam hal berkaitan penetapan SOP dan kuarantin, ia perlu dipatuhi. Arahan ulil amri atau pihak berkuasa, dalam Islam wajib patuh dan dengar," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas sikap sambil lewa jemaah umrah yang pulang ke negara ini yang dikatakan enggan mematuhi SOP dan perintah kuarantin menyebabkan berlaku penularan varian Omicron di negara ini.

Ahad lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mendedahkan 30 daripada 49 kes COVID-19 varian Omicron di Malaysia membabitkan individu yang pulang dari Arab Saudi selepas mengerjakan umrah.

Beliau dilaporkan berkata, kebanyakan mereka tidak mematuhi SOP ketika menjalani kuarantin di rumah.

Mulai kelmarin, jemaah umrah yang baru pulang ke tanah air akan dipakaikan peranti digital bagi memudahkan pemantauan.

Abdul Rahman turut menasihatkan jemaah umrah yang baru kembali ke tanah air tidak mementingkan diri sehingga boleh membawa mudarat kepada umum.

"Perlu difahami, arahan kerajaan dibuat demi kebaikan masyarakat umum dan kita wajib patuh dan dengar bukannya ia satu yang mengajak ke arah kemudaratan.

"Jika ia berkaitan kemaksiatan, memang wajib dibantah," katanya.

Mengenai desakan supaya ibadat umrah ditangguhkan seperti langkah diambil pihak berkuasa Indonesia, katanya, pada masa ini penyebaran varian Omicron tidak membawa mudarat yang besar.

Justeru, katanya, tidak perlulah perjalanan jemaah umrah disekat.

Berita Harian X