Rabu, 29 Disember 2021 | 3:11pm
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay

Long Tiger: Kecuaian KPD, kebocoran maklumat oleh SAC disiasat Polis Johor

JOHOR BAHRU: Seorang ketua polis daerah bersama dua lagi pegawai kanannya, berdepan siasatan atas kecuaian penyeliaan dalam penugasan sehingga menyebabkan lelaki etnik Rohingya dikenali sebagai Long Tiger, lolos daripada lokap Mahkamah Majistret Tangkak, pada 15 Disember lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata kertas siasatan juga dibuka terhadap pegawai iaitu Ketua Polis Balai dan seorang Inspektor.

"Kertas siasatan tatatertib itu akan dihantar kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Bukit Aman, untuk penilaian dan tindakan susulan.

"Di Johor, kita beri tumpuan khusus daripada aspek kebertanggungjawaban dan penyeliaan yang sepatutnya menyelia serta memeriksa lokap sama ada lokap di mahkamah atau lokap Ibu Pejabat Polis Daerah atau balai.

"Turut berdepan tindakan, seorang anggota polis berpangkat Koperal berusia 30 tahun dan seorang pegawai berpangkat Senior Asisten Komisioner (SAC) yang terbabit dalam kecuaian menyebabkan kebocoran maklumat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 203 Kanun Keseksaan kerana mendedah maklumat sulit, yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara satu tahun atau denda RM1 juta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam perkembangan sama, pihaknya juga membuka siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia ke atas seorang bekas anggota polis yang juga pemilik akaun laman sosial Facebook (FB) Jebat Derhaka.

Katanya, individu yang berasal dari Klang berusia 47 tahun itu dipercayai menularkan maklumat sulit atau gambar operasi yang diperoleh ke dalam FB.

"Hentikan tindakan menyebarkan, jangan terlalu ghairah mahu menularkan benda yang boleh mengganggu operasi polis, ini akan menjejaskan operasi susulan pihak polis," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, lelaki Rohingya dikenali 'Long Tiger' yang berjaya ditahan semalam, didapati menyembunyikan diri di rumah seorang pondan di Jalan Kuala Ketil, Alor Setar.

Pada masa sama, tular gambar menunjukkan beberapa anggota polis menahan Long Tiger di sebuah rumah dan hanya berseluar pendek berwarna putih.

Long Tiger meloloskan diri melalui pintu utama Mahkamah Majistret Tangkak, Johor sebelum perbicaraan bermula pada 15 Disember lalu, kira-kira jam 11.55 pagi

Sejak kehilangannya, Long Tiger menjadi buruan polis selain peguam mewakilinya, Datuk Sharudin Ali turut menarik diri daripada mewakilinya.

Dua anggota polis turut ditahan tugas bagi membantu siasatan berhubung insiden berkenaan kerana disyaki terbabit secara langsung atas kesalahan cuai sehingga menyebabkan tahan itu melarikan diri.

Berita Harian X