Rabu, 29 Disember 2021 | 3:00pm
Antara lokasi longgokan sampah pukal bawah kawasan pentadbiran MPK. NSTP/IHSAN MPK
Antara lokasi longgokan sampah pukal bawah kawasan pentadbiran MPK. NSTP/IHSAN MPK

Elak buat 'gelombang' sampah

KUALA LUMPUR: Penduduk yang terjejas banjir dinasihati untuk tidak melakukan siri 'gelombang' pembuangan sampah bagi mengelak risiko penularan jangkitan dan kesukaran aspek pengurusan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Ismail Mokhtar, berkata beberapa kawasan yang dilanda banjir masih berdepan masalah longgokan sampah atau bahan untuk dilupuskan.

Jelasnya, hal itu kerana segelintir penduduk masih giat melakukan pembersihan kediaman masing-masing dan memeriksa barang kelengkapan yang ingin dibuang.

"Kita ada perancangan, justeru penduduk yang mengadu bahawa longgakan sampah di kawasan mereka tidak dibersihkan lagi, diminta bersabar dahulu kerana ia akan diusahakan segera.

"Memang tidak dapat dinafikan bahawa tuan rumah tidak selesa dengan keadaan sedemikian, tetapi tinjauan SWCorp mendapati bukan sekadar banjir yang ada gelombang kedua dan ketiga, tetapi hal sampah pun ada.

"Maksudnya, selepas kita bersihkan dan angkut semua, datang lagi sampah kedua serta ketiga, tidak habis-habis. Justeru orang ramai dinasihatkan untuk melakukan pengasingan secepat mungkin.

"Ini penting supaya kita tidak buat kerja dua tiga kali dan berupaya melupuskan sampah di kawasan berkaitan dengan secepat mungkin. Kerjasama semua penduduk amat diperlukan bagi mengelak longgokan sampah yang mampu mengundang penyakit," katanya kepada BH, hari ini.

Mengenai pelaksanaan kerja pasca banjir, Ismail berkata, SWCorp mengangkut kira-kira 4,000 tan sampah sehari, dengan Selangor ketika ini merekodkan jumlah pelupusan terbanyak iaitu 2,500 tan sehari atau 62.5 peratus.

Berdasarkan data harian, katanya, Pahang mencatatkan kadar pelupusan sampah sebanyak satu tan, manakala Negeri Sembilan, 400 tan.

"Kita nak uruskan pelupusan sampah dengan cepat, tetapi sesetengah tempat seperti di Hulu Langat, SWCorp berdepan masalah lain iaitu kesesakan lalu lintas dan kesukaran pergi ke kawasan pedalaman tertentu.

"Maka, tiada pilihan lain tetapi dengan menggunakan khidmat sukarelawan untuk angkut dan bawa ke tepi jalan, sebelum sampah berkenaan dibawa ke tempat pengumpulan sementara yang hanya mengambil kira-kira satu hingga lima minit perjalanan dari lokasi.

"Sampah ini kemudian akan dibawa ke tempat pelupusan kekal seperti di Hulu Langat, Seksyen 21 Shah Alam dan Jeram, Selangor.

"Pendekatan ini hanya untuk sementara waktu berikutan kesesakan lalu lintas dan semua tempat pengumpulan sementara akan ditutup lepas kerja-kerja pasca banjir selesai," katanya.

Bagi mengelak masalah berbangkit, Ismail meminta kerjasama orang ramai untuk tidak melakukan pelupusan sampah secara sendiri, menerusi kaedah pembakaran terbuka.

Sebaliknya, beliau berkata, orang ramai boleh menghantar barang yang hendak dilupuskan ke pusat transit seliaan SWCorp dan mereka tidak akan dikenakan sebarang caj kos buangan.

"Mana-mana yang perlukan bantuan boleh hubungi talian khas banjir, 03-83124040 dan kita akan uruskan sebaik mungkin," katanya.

Berita Harian X