Rabu, 29 Disember 2021 | 1:37pm
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay

'Long Tiger cuba lari ke negara jiran'

JOHOR BAHRU: Pendatang Rohingya, 'Long Tiger' atau nama sebenarnya Abd Hamim Ab Hamid, 33 yang meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, pada 15 Disember lalu, dipercayai dalam perjalanan melarikan diri ke negara jiran sebelum ditahan polis dalam serbuan di Jalan Kuala Ketil, Kedah, semalam.

Suspek kini dalam tahanan reman selama empat hari selepas perintah terbabit dikeluarkan oleh Majistret Tangkak, Analia Kamaruddin, pagi tadi bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan.

Tiga lagi individu yang membantu suspek sepanjang tempoh dia meloloskan diri daripada lokap Mahkamah majistret Tangkak pada 15 Disember lalu, direman untuk tempoh sama bagi siasatan mengikut Seksyen 216 kanun sama.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata Long Tiger dikesan dibantu dua individu untuk melarikan diri dari Johor ke Kedah.

"Hasil siasatan, polis membuat tangkapan susulan membabitkan dua lelaki berusia 36 dan 38 tahun yang dipercayai bersekongkol dengan suspek, di sekitar Batu Pahat, antara jam 7.25 malam tadi hingga 3 pagi ini.

"Kedua-dua suspek itu dipercayai membantu suspek dengan memotong gari tangannya, selain membeli kad sim sebelum melarikan diri ke utara.

"Polis percaya Long Tiger yang melarikan diri ke Kedah dalam perjalanan keluar dari negara ini, sama ada ke Thailand dan Indonesia," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Media sebelum ini melaporkan, Lelaki Rohingya dikenali 'Long Tiger' yang berjaya ditahan semalam, didapati menyembunyikan diri di rumah seorang pondan di Jalan Kuala Ketil, dekat sini.

Ketika ditahan kira-kira jam 3 petang itu, Long Tiger dikesan sekali lagi cuba melarikan diri dengan memanjat bumbung namun tergelincir jatuh di lantai dapur rumah.

Untuk rekod, Long Tiger meloloskan diri melalui pintu utama Mahkamah Majistret Tangkak, Johor sebelum perbicaraan bermula pada 15 Disember lalu, kira-kira jam 11.55 pagi

Sejak kehilangannya, Long Tiger menjadi buruan polis selain peguam mewakilinya, Datuk Sharudin Ali turut menarik diri daripada mewakilinya.

Dua anggota polis turut digantung tugas bagi membantu siasatan berhubung insiden berkenaan kerana disyaki terbabit secara langsung atas kesalahan cuai sehingga menyebabkan tahan itu melarikan diri.

Berita Harian X