Selasa, 28 Disember 2021 | 7:49pm
Long Tiger ditahan di Sungai Petani, Kedah oleh sepasukan pegawai dan anggota polis Bukit Aman dan Kontinjen Johor
Long Tiger ditahan di Sungai Petani, Kedah oleh sepasukan pegawai dan anggota polis Bukit Aman dan Kontinjen Johor

'Long Tiger' akhirnya dijerat polis

KUALA LUMPUR: Pelarian seorang lelaki Rohingya dikenali sebagai Long Tiger, yang meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, pada 15 Disember lalu, berakhir apabila diberkas polis pagi tadi.

Long Tiger atau nama sebenarnya Abd Hamim Ab Hamid, 33, ditahan di Sungai Petani, Kedah oleh sepasukan anggota pegawai dan polis dari Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, mengesahkan penangkapan suspek terbabit.

"Ya benar, tangkapan dibuat di Kedah dan butiran serta maklumat lanjut mengenai tangkapan akan dibuat oleh Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Difahamkan, polis kini sedang mengenal pasti individu tertentu yang membantu dan memberi perlindungan kepada tahanan terbabit sepanjang tempoh dia meloloskan diri.

Susulan itu, polis dijangka membuat beberapa tangkapan lain bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Sementara itu, jurucakap Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor berkata, Ayob Khan akan mengadakan sidang media khas berhubung perincian tangkapan pada jam 12 tengah hari esok.

Media sebelum ini melaporkan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak mendapatkan bantuan daripada beberapa IPD berhampiran bagi mengesan 'Long Tiger' yang meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak.

Peguam mewakili Abd Hamim Ab Hamid turut menarik diri daripada mewakili lelaki itu susulan perbuatannya meloloskan diri daripada lokap itu.

Datuk Shaharudin Ali, berkata beliau yang juga Peguambela dan Peguamcara bagi Shaharudinali Azfarazmi & Co, sebelum ini dilantik mewakili Ab Hamim dalam beberapa kes jenayah dan sivil lelaki itu yang sedang berjalan.

"Sebagai peguam bela, kami juga merasai Ab Hamim sudah melarikan diri ketika perjalanan prosiding kes beliau dan ini mencerminkan beliau tiada keyakinan dengan khidmat guaman oleh pihak kami, selain tiada keyakinan dengan prosiding mahkamah yang sedang berlangsung," katanya.

Selain itu, dua anggota polis turut digantung tugas bagi membantu siasatan berhubung insiden berkenaan kerana disyaki terbabit secara langsung atas kesalahan kecuaian yang menyebabkan tahanan itu berjaya melarikan diri.

Berita Harian X