Selasa, 28 Disember 2021 | 6:34pm

Masih ramai tak patuh arahan kuarantin di rumah

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mempertimbangkan untuk bertindak lebih tegas terhadap individu yang melanggar Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) COVID-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata semakan pada aplikasi MySejahtera sepanjang bulan ini mendapati kira-kira 1.4 peratus daripada mereka yang menjalani HSO gagal mematuhi arahan itu.

"Saya periksa (penggunaan aplikasi) dan mendapati ada antara mereka ini mendaftar masuk di pelbagai tempat dan bukannya tinggal di rumah.

"Begitu juga ada terima laporan mengenai majlis perkahwinan besar-besaran membabitkan pasangan selebriti dengan ramai tidak mengamalkan prosedur operasi standard (SOP).

"Kita tidak halang majlis perkahwinan tetapi semua orang perlu mengambil langkah sewajarnya membendung penularan jangkitan COVID-19," katanya pada sidang media, hari ini.

Katanya, akibat pelanggaran SOP itu, mereka mungkin dikenakan kompaun maksimum RM1,000 mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, orang ramai digalakkan menghidupkan fungsi bluetooh bagi membolehkan aplikasi MySejahtera membuat pengesanan kontak rapat kepada kes positif jangkitan COVID-19.

"MySejahtera Trace (MySJ Trace) dengan menggunakan teknologi Bluetooh boleh mengesan kontak rapat pada jarak tertentu yang mana jika individu yang baru mendapat pengesahan positif, setuju berkongsi maklumat untuk memaklumkan kontak kasual.

"Bagi kontak kasual itu, mereka digalakkan melakukan ujian kendiri dan ini akan membendung penularan," katanya.

Sementara itu, Khairy memaklumkan beliau mengadakan pertemuan dengan wakil Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA); Business Events Council Malaysia (BECM); Malaysian Association of Convention and Exhibition Organisers and Suppliers (MACEOS); Persatuan Pengurusan Kompleks (PPK) Malaysia; Prasarana Bhd dan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma).

"Ia bagi menggalakkan pihak terbabit unnuk memastikan pematuhan SOP kerana dalam negara beralih kepada fasa endemik, kita tidak mahu mengeluarkan kompaun tetapi premis perlu mengambil langkah sewajarnya untuk kekang COVID-19," katanya.

FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Berita Harian X