Selasa, 28 Disember 2021 | 2:49pm
Amiruddin (tiga dari kiri) meninjau kerja membaik pulih Jambatan Dengkil, Sungai Langat yang runtuh akibat hakisan air sungai - Foto NSTP/Samadi Ahmad.
Amiruddin (tiga dari kiri) meninjau kerja membaik pulih Jambatan Dengkil, Sungai Langat yang runtuh akibat hakisan air sungai - Foto NSTP/Samadi Ahmad.

Jambatan Dengkil dijangka siap bulan depan

DENGKIL: Kerja-kerja pembaikan jambatan Dengkil, Sungai Langat dekat sini yang rosak akibat hakisan air sungai dijangka siap dan dibuka kepada orang ramai pada penghujung Januari tahun depan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata kerja pembaikan sudah berjalan 30 peratus dan ketika ini dalam proses menanam cerucuk besi.

Menurutnya, kos pembaikan jambatan ini dianggarkan RM800,000 termasuk kerja-kerja menambak dan membina tebatan banjir di bawah jambatan berkenaan.

Katanya, projek tebatan banjir Sungai Langat bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah dimulakan di kawasan ini sejak Julai lalu dan dijangka siap pada Julai 2023.

"Projek ini menjadi antara usaha kerajaan negeri dalam menangani banjir di kawasan ini, namun tertangguh disebabkan banjir," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Kampung Chemperai dan Jambatan Dengkil, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Dengkil, Adhif Syan Abdullah dan Pegawai Daerah Sepang, Khairi Azali Ibrahim.

Pada 17 Disember lalu sebahagian daripada jambatan itu dari arah pekan Dengkil ke Jenderam runtuh disebabkan hakisan menyebabkan jambatan sepanjang 54 meter itu ditutup kepada semua kenderaan.

Amirudin berkata, banjir besar berlaku di kawasan ini berpunca daripada ban pecah di Sungai Langat dan air melimpah ke kediaman penduduk.

Menurutnya, tempoh pembinaan ban itu dijangka mengambil masa sangat panjang dan ketika ini kerja-kerja membaik pulih ban sementara di Kampung Chemperai sedang berjalan bagi menampung dan mengelak ia dipukul kederasan air sungai sekiranya berlaku hujan lebat.

Menurutnya, kos pembaikan dijangka RM500,000 hingga RM2.8 juta bergantung kepada jarak pembaikan.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata, ketika ini kerajaan Selangor menumpukan kepada kerja-kerja pembersihan di kawasan kediaman penduduk.

Katanya, selepas kerja-kerja pembersihan selesai, kerajaan Selangor berkemungkinan memperluaskan beberapa insentif tambahan bagi membantu penduduk seperti pengusaha tanah pertanian, persekolahan dan peniaga yang terjejas banjir.

"Perkara ini akan diumumkan dari masa ke semasa dan ia bergantung kepada kedudukan kewangan kerajaan Negeri," katanya.

Berita Harian X