Selasa, 28 Disember 2021 | 2:35pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

SOP umrah sedia ada masih terpakai

KUALA LUMPUR: Kerajaan belum bercadang mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 bagi individu yang pulang daripada mengerjakan umrah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, berkata buat masa ini SOP sedia ada masih terpakai.

"Setakat ini SOP macam biasa, perlu menjalani kuarantin, menjalani ujian calitan COVID-19. (SOP) masih berjalan seperti biasa.

"Buat masa ini, (kerajaan) belum bercadang untuk mengkaji semula (SOP)," katanya kepada BH, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan mulai minggu depan, semua pengembara yang pulang dari Arab Saudi akan diwajibkan memakai peranti digital bagi memastikan mereka mematuhi SOP kuarantin di rumah.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata daripada keseluruhan 49 kes Omicron dikesan, 30 membabitkan mereka yang pulang dari Arab Saudi selepas mengerjakan umrah.

Katanya, kebanyakan individu terbabit yang dibenarkan menjalani kuarantin di rumah, didapati tidak mematuhi arahan itu, malah menerima tetamu ketika dalam tempoh kuarantin.

Mengulas lanjut, Idris berkata, semua jemaah Malaysia diminta berdisiplin dan menjaga SOP ditetapkan ketika berada di Arab Saudi serta selepas pulang ke tanah air.

"Jika kita semua ikut SOP ditetapkan, insya-Allah (kita dilindungi)," katanya.

Berita Harian X