Selasa, 28 Disember 2021 | 2:27pm
Pekerja pembersihan membersihkan barangan penduduk Taman Seri Nanding, Hulu Langat. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Pekerja pembersihan membersihkan barangan penduduk Taman Seri Nanding, Hulu Langat. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Pendaftaran mangsa banjir digiatkan, segerakan bantuan banjir

KUALA LUMPUR: Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) giat mengesan mangsa banjir yang belum berdaftar dalam usaha memastikan agihan Bantuan Wang Ihsan (BWI) dapat disalurkan segera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata bantuan berkenaan sudah mula diagihkan kepada mangsa banjir mulai semalam.

"Dana yang diperuntukkan Kerajaan Persekutuan untuk disalurkan kepada mangsa banjir perlu dipermudahkan dan disegerakan.

"Sehingga semalam, kerajaan telah salurkan RM34 juta untuk diagihkan kepada 34,000 ketua isi rumah di negeri-negeri yang terjejas banjir," katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Anggota NGO bersama penduduk Taman Seri Nanding, Hulu Langat, membersihkan kesan selepas banjir. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Anggota NGO bersama penduduk Taman Seri Nanding, Hulu Langat, membersihkan kesan selepas banjir. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Pekerja pembersihan membersihkan barangan penduduk Taman Seri Nanding, Hulu Langat. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Pekerja pembersihan membersihkan barangan penduduk Taman Seri Nanding, Hulu Langat. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Mohd Hamizul Jubri, 46, memulakan kerja-kerja mengasingkan bahagian-bahagian dalam kereta yang diselaputi lumpur di bengkelnya ZAS Auto, Dengkil. - Foto BERNAMA
Mohd Hamizul Jubri, 46, memulakan kerja-kerja mengasingkan bahagian-bahagian dalam kereta yang diselaputi lumpur di bengkelnya ZAS Auto, Dengkil. - Foto BERNAMA

Ismail Sabri berkata, Mesyuarat Task Force Pengurusan Pasca Banjir dan Kesiapsiagaan Menghadapi Gelombang Kedua Bencana Banjir yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali semalam memutuskan serahan tunai dilaksanakan bagi memastikan BWI diserahkan segera.

Jelasnya, tiga kaedah digunakan bagi memudahkan urusan penyaluran BWI secara lebih efektif dan pantas.

"Tiga kaedah digunakan bagi penyaluran BWI iaitu serahan tunai di PKOB atau kedua, serahan tunai rumah ke rumah dan ketiga, pemindahan tunai secara atas talian (EFT).

"Bantuan ini sudah mula diagihkan di peringkat PKOB dengan kerjasama ICU, JPM," katanya.

Pada 19 Disember lalu, Ismail Sabri mengumumkan pemberian bantuan sebanyak RM1,000 kepada setiap ketua keluarga yang terjejas akibat bencana banjir.

Selain itu, bantuan pengurusan kematian kepada waris mangsa yang terkorban dalam kejadian banjir turut dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000.

Berita Harian X