Selasa, 28 Disember 2021 | 12:51pm
Kerja-kerja membersihkan tebing Sungai Lui dijalankan semalam selepas sekitar kawasan berkenaan dan Taman Sri Nanding di Hulu Langat dinaiki air banjir. - NSTP/Azhar Ramli
Kerja-kerja membersihkan tebing Sungai Lui dijalankan semalam selepas sekitar kawasan berkenaan dan Taman Sri Nanding di Hulu Langat dinaiki air banjir. - NSTP/Azhar Ramli

Bertindak tegas terhadap pemaju abai alam sekitar

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu tegas dan memantau projek pembinaan bagi mengelakkan kejadian banjir teruk seperti di Taman Sri Nanding, Hulu Langat, berulang.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata sudah sampai masa untuk kerajaan bertegas kerana ada pemaju tidak menghiraukan alam sekitar walaupun peringatan demi peringatan diberikan.

"Tidak mengejutkan juga kerana ini bukan masalah baharu mengenai sikap segelintir pemaju. Walaupun kerap diingatkan masalah pembinaan infrastruktur yang tidak ambil berat masalah alam sekitar, ia tetap akan berlaku.

"Untuk mengatasinya, kerajaan harus bertegas untuk pantau projek pembinaan yang sedang berlangsung agar tidak mencemarkan alam sekitar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahad lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan pembinaan projek Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) dipercayai antara faktor menyumbang kepada kejadian banjir besar di sekitar Taman Sri Nanding.

Perdana Menteri berkata, pemantauannya di kawasan perumahan itu mendapati projek pembinaan EKVE menyebabkan longkang tertutup, sekali gus mengganggu sistem saliran di kawasan berkenaan.

Ia menyebabkan air Sungai Langat yang terletak betul-betul di belakang Taman Sri Nanding melimpah ke kawasan perumahan berkenaan hingga banjir meningkat setinggi tingkat pertama rumah di situ.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye.

Dalam perkembangan berkaitan, Lam Thye berharap penubuhan jawatankuasa khas pasca banjir diketuai Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dapat mengelak kesilapan pengurusan bencana yang berlaku sebelum ini.

Katanya, pemerhatian mendapati aspek kesiapsiagaan menghadapi gelombang pertama banjir baru-baru ini, tidak memuaskan.

"Diharapkan jawatankuasa ini dapat perbaiki kekurangan pada (gelombang kedua) bencana banjir yang diramal berlaku. Kita juga harus memastikan petugas ini perbaiki kekurangan yang wujud sebelum ini," tegasnya.

Sementara itu, Lam Thye, berkata kerajaan perlu mempermudahkan proses pengagihan bantuan termasuk bantuan wang ihsan RM1,000 kepada semua mangsa banjir.

Katanya, kerenah birokrasi yang renyah dan menyukarkan rakyat perlu dihapuskan bagi memastikan ia dapat disalurkan secepat mungkin.

"Bantuan kali ini harus mudah diperoleh dan diberikan kepada mangsa banjir yang kehilangan harta benda terlalu banyak.

"Yang paling penting semua permohonan haruslah dipercepatkan. Jangan sengaja melengahkan permintaan bantuan ihsan ini," katanya.

Berita Harian X