Selasa, 28 Disember 2021 | 12:00pm
Mustapha Kamil (empat kanan) bersama Ahmad Zaini (kanan), Ahmad Lokman Mansor (dua dari kanan) dan Husain (dua dari kiri) pada penyampaian sumbangan kepada kakitangan NSTP yang terkesan dengan bencana banjir di Balai Berita Bangsar. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Mustapha Kamil (empat kanan) bersama Ahmad Zaini (kanan), Ahmad Lokman Mansor (dua dari kanan) dan Husain (dua dari kiri) pada penyampaian sumbangan kepada kakitangan NSTP yang terkesan dengan bencana banjir di Balai Berita Bangsar. - Foto NSTP/Aswadi Alias

Kakitangan NSTP mangsa banjir terima bantuan

KUALA LUMPUR: Tujuh kakitangan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) yang terbabit banjir baru-baru ini, menerima pelbagai sumbangan menerusi Bantuan Prihatin Banjir NSTP hari ini.

Sumbangan yang diserahkan termasuk wang tunai hasil sumbangan daripada kakitangan NSTP, Kotak Rezeki Harian Metro yang mengandungi barangan runcit asas serta barangan elektrik.

Selain itu mereka turut menerima sumbangan wang tunai daripada program Titipan Kasih.

Penerima sumbangan adalah Ayish Yusof, Mohd Al Hafiz, Badrul Hizar, Fahmy Azril Rosli, Hafidzul Hilmi, Mohd Nor Lizam dan Nur Farhatul Aishati Azharie.

Sumbangan itu bertujuan untuk meringankan beban mereka yang terbabit banjir sejak 18 Disember lalu, hasil inisiatif Jabatan Sumber Manusia NSTP dan Jabatan Pemasaran, Komunikasi dan Sokongan Jualan NSTP.

Sumbangan itu diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Mustapha Kamil Mohd Janor di Balai Berita NSTP, di sini.

Turut hadir Pengurus Besar Pemasaran, Komunikasi dan Sokongan Jualan NSTP, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman; Pengarang Kumpulan NST, Ahmad Lokman Mansor dan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit.

Sementara itu, Mustapha Kamil ketika berucap berharap bantuan yang diberikan itu dapat mengurangkan beban yang dihadapi mereka.

Beliau turut menyifatkan kejadian banjir yang berlaku baru-baru ini paling teruk pernah berlaku selepas kejadian banjir melanda ibu negara pada tahun 1971.

"Walaupun ramai kakitangan yang terjejas dalam kejadian ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Saya berharap semua mangsa banjir tabah menghadapi dugaan ini dan terus sentiasa berjaga-jaga termasuk dalam keadaan pandemik COVID-19 ketika ini," katanya.

Beliau berkata, banjir itu turut menjejaskan operasi di Loji Percetakan NSTP di Bukit Jelutong, Shah Alam.

Katanya, susulan itu penghantaran akhbar turut mengalami sedikit kelewatan berbanding biasa berikutan menggunakan Loji Percetakan Perai, Pulau Pinang.

"Dijangka urusan membaiki loji percetakan itu akan mengambil masa kira-kira sebulan untuk pulih bagi menunggu alat ganti," katanya.

Semalam, seramai sembilan kakitangan NSTP dan Print Towers Sdn Bhd (PTSB) anak syarikat NSTP terjejas banjir yang tinggal di Shah Alam dan Klang menerima sumbangan sama.

Berita Harian X