Isnin, 27 Disember 2021 | 8:39pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

'Kepala air punca banjir Hulu Langat'

SHAH ALAM: Banjir di Hulu Langat berpunca daripada kepala air yang turun dari kawasan pergunungan sekitar dan bukannya akibat pembinaan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata kepala air itu membawa longgokan sampah dan kayu-kayan sehingga sampai ke Batu 14, Sungai Lui dan kawasan sekitarnya.

"Berdasarkan maklumat yang diperoleh, saya tidak dimaklumkan mengenai banjir di Hulu Langat disebabkan pembinaan EKVE. Jadi, saya akan merujuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebab beliau dikatakan ada menyebut perkara itu (EKVE antara punca banjir di Hulu Langat).

"Daripada taklimat awal, ia memang berpunca daripada kepala air yang jatuh dari kawasan pergunungan sekitar," katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Semalam, Ismail Sabri memaklumkan, pembinaan EKVE di sini, dipercayai antara faktor menyumbang kepada kejadian banjir besar di sekitar Taman Sri Nanding, Hulu Langat.

Beliau dilaporkan berkata, pemantauannya di kawasan perumahan itu mendapati projek pembinaan EKVE menyebabkan longkang tertutup, sekali gus mengganggu sistem saliran di kawasan itu.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, beliau tidak mengetahui maklumat mengenai lebuh raya EKVE itu, namun bagi kes di Kuala Selangor, terdapat satu projek lebuh raya yang mana tiangnya didapati memotong satu ban di Kampung Asahan.

"Saya sendiri datang (ke Kuala Selangor) dan mendapati projek terbabit sudah memotong satu ban, seterusnya menyebabkan air melimpah ke kampung berkenaan.

"Bagaimanapun, sejak semalam, banyak air berjaya dikeluarkan dan insya-Allah kita akan lihat penyurutan banjir ketara di Kuala Selangor," katanya.

Sementara itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri memerlukan RM369.5 juta bagi melaksanakan projek pembaikan susulan banjir di negeri ini.

Katanya, jumlah itu diperlukan bagi membaiki jalan raya, bangunan dan peralatan kemudahan awam.

"Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Selangor, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor memerlukan peruntukan segera sebanyak RM142.3 juta.

"Bagi pembaikan jalan raya, kos membaiki jalan Persekutuan berjumlah RM38 juta dan jalan negeri pula RM63 juta," katanya.

Berita Harian X