Isnin, 27 Disember 2021 | 8:17pm
 Pengurusan UIAM menutup kawasan tanah runtuh dengan kanvas dan tidak membenarkan mana-mana pihak memasuki kawasan itu.
Pengurusan UIAM menutup kawasan tanah runtuh dengan kanvas dan tidak membenarkan mana-mana pihak memasuki kawasan itu.

Tanah runtuh berhampiran UIAM kali pertama berlaku

KUALA LUMPUR: Kejadian tanah runtuh di kawasan asrama lelaki Mahallah Zubair, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak di sini, kali pertama berlaku sejak penubuhannya pada 1983 susulan hujan lebat pada jam 6 petang semalam.

Pegawai Perhubungan Awam UIAM, Roslan Rusly, berkata pihaknya mengambil tindakan proaktif sejurus menyedari kejadian berlaku di Blok C Mahallah Zubair itu dengan menempatkan 128 pelajar di kediaman lain atas faktor keselamatan.

Beliau berkata, ketika kejadian, pihaknya turun ke lokasi dan memindahkan semua penuntut ke blok kosong kerana struktur bangunan terjejas dikhuatiri tidak selamat.

"Semalam, pihak bomba datang dan membuat penilaian awal struktur bangunan. Selain bomba, Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Unit Pembangunan UIAM turut memantau perkembangan semasa bangunan itu," katanya di sini, hari ini.

Semalam, kira-kira 128 penghuni asrama lelaki UIAM di Gombak diarah mengosongkan premis itu selepas satu kejadian mendapan jalan dan tanah runtuh dikesan berhampiran bangunan berkenaan.

Kejadian itu dikesan pada jam 6.45 petang berikutan aduan pelajar di kawasan terbabit dan tinjauan mendapati keluasan mendapan jalan kira-kira lima meter persegi membabitkan kedalaman kira-kira tiga meter.

Sementara itu, mahasiswa jurusan seni bina landskap, Faris Syahmi A Rahman, 20, berkata beliau tidak menyangka akan berlaku insiden tanah runtuh di blok berhampiran.

Mahasiswa jurusan kejuruteraan komputer, Azrin Saedi, 28, pula berkata ketika kejadian, beliau tidak mendengar sebarang bunyi tanah runtuh berhampiran blok asramanya.

"Semalam hujan lebat pada jam 6 petang dan saya hanya mengetahui kejadian itu menerusi WhatsApp dikongsikan rakan asrama.

"Bagaimanpun, pihak pengurusan UIAM sudah menutup kawasan tanah runtuh dengan kanvas dan tidak membenarkan mana-mana pihak memasuki kawasan itu," katanya.

Tinjauan di lokasi kejadian mendapati saliran air dan kawasan sekitar tempat parkir di asrama berkenaan dipenuhi kesan lumpur susulan hakisan tanah yang berlaku. – BERNAMA

Berita Harian X