Isnin, 27 Disember 2021 | 7:25pm
Bot nelayan tempatan yang ingkar syarat lesen ditahan di perairan Tanjung Hantu, Segari di Lumut. - Foto CPS KAMPUNG ACHEH
Bot nelayan tempatan yang ingkar syarat lesen ditahan di perairan Tanjung Hantu, Segari di Lumut. - Foto CPS KAMPUNG ACHEH

Dua bot pukat tunda, empat kru Myanmar ditahan

LUMUT: Jabatan Perikanan Perak menahan dua bot pukat tunda tempatan kerana melanggar syarat lesen termasuk menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran di perairan Tanjung Hantu, Segari, dekat sini, hari ini.

Empat kru warga Myanmar berusia 33 hingga 50 tahun yang berkerja di atas bot berkenaan turut ditahan.

Ketua Pangkalan Utama Cawangan Perlindungan Sumber (CPS) Kampung Acheh, Mansor Yobe berkata, bot kelas B berkenaan masing-masing berpangkalan di Kuala Sepetang dan Pantai Remis serta dimiliki majikan berbeza.

Beliau berkata, kedua-dua bot berkenaan ditahan selepas didapati menggunakan nelayan asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan saiz mata pukat yang digunakan kurang 38 milimeter (mm).

Katanya, selain itu bot juga didapati menangkap ikan menggunakan pukat tunda kurang dari lima batu nautika iaitu 4.5 batu nautika dari pantai.

"Kita menahan bot pertama bersama dua kru di kedudukan 4.5 batu nautika dari perairan Tanjung Hantu pada 8.55 pagi sebelum lima minit selepas itu menahan sebuah lagi bot bersama dua kru di sekitar perairan berkenaan.

"Bot kedua turut didapati gagal mengemukakan buku lesen ketika ditahan. Dua bot berkenaan keluar menangkap ikan sejak pagi tadi ," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mansor berkata, kedua-dua bot berkenaan keluar menangkap ikan pagi tadi dan pihaknya turut merampas lebih lima kilogram udang serta ikan.

"Keseluruhan rampasan termasuk dua bot dianggarkan bernilai lebih RM350,000. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985," katanya.

Berita Harian X